KOTA BHARU – Seramai 80 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Gua Musang bertindak keluar parti dan menyertai Pas berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Timbalan Ketua Cabang PKR Gua Musang, Syed Azhar Syed Alwi yang mengetuai kumpulan berkenaan berkata, langkah itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) yang dilihat semakin hilang arah tuju dan fokus asal perjuangan.

“Kemasukan Tun Dr. Mahathir Mohamad berserta parti baharunya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ke dalam pakatan pembangkang itu dilihat tidak menguntungkan politik Melayu bahkan kepentingan Islam itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan keluar parti di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan hari ini.

Syed Azhar berkata pihaknya juga kecewa dengan sikap parti komponen dalam PH yang berterusan bercakaran dan berebut kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum Ke-14 sehingga menyebabkan rakyat muak dan bosan.

Beliau berkata politik fitnah dan tohmahan yang tidak berkesudahan turut menyebabkan rakyat semakin berpecah-belah.-BERNAMA