Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad meluangkan masa menziarahi artis Bob Lokman di kediamannya, hari ini. Sumber: FB Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad meluangkan masa menziarahi penulis lirik terkenal, Bob Lokman yang sedang uzur akibat pelbagai masalah kesihatan.

“Dalam waktu yang amat terhad pagi ni, kami sempat mengunjungi saudara Bob Lokman yang mengalami keuzuran di rumahnya.

“Walaupun begitu, beliau tetap menggagahkan diri menyambut kami dan sempat berbincang berkenaan keluarga Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan.

“Bob Lokman pernah mengunjungi kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, cawangan KL beberapa tahun lepas.

“Semoga Allah kurniakan kesihatan kepadanya. Mohon maaf kerana kehadiran agak mengejut dan tidak dapat berbual panjang kerana hambatan masa dan tugas,” katanya dalam satu posting di Instagram rasmi mufti yang mesra rakyat itu hari ini.

Semalam, Bob atau nama sebenarnya, Mohd. Hakim Lokman membuat posting di laman Facebooknya dengan mengatakan tahap kesihatannya semakin merosot dengan menanggapnya sebagai “sedang menunggu masa”.

Pada Januari lalu, penulis lirik lagu Isabella nyanyian Search itu telah dimasukkan ke sebuah hospital di Sungai Buloh kerana masalah jantung bengkak dan paru-paru berair.

Beliau yang juga terkenal sebagai pelakon dan pelawak berusia 54 tahun itu juga turut menghidap penyakit kencing manis.-MalaysiaGazette