Gambar Hiasan Kehadiran pelancong tidak terkawal di Maya Beach, Thailand menjejaskan ekosistem.

BANGKOK – Lebih banyak pulau-pulau popular sekitar ASEAN akan menghadkan kedatangan pelancong tahun ini kerana mahu melindungi ekosistemnya daripada suhu laut yang semakin panas dan jumlah pengunjung yang tidak terkawal meskipun bakal menjejaskan pendapatan sektor pelancongan dan pulahan ribu pekerjaan.

Thailand akan menutup Maya Bay, pulau yang terkenal selepas menjadi lokasi pengambaran filem The Beach yang dibintangi Leonardo DiCaprio selama empat bulan dalam masa setahun bermula Jun.

Bagi Filipina pula, kerajaan berhasrat untuk menutup pulau Boracay selama enam bulan bermula April.

“Pulau-pulau ini mempunyai ekosistem yang mudah terjejas dan tidak mampu menerima terlalu ramai orang, pencemaran daripada bot-bot serta hotel di hadapan pantai.

“Terumbu karang terjejas akibat suhu laut yang semakin panas dan padat dengan pengunjung.

“Kadang-kadang, penutupan sepenuhnya adalah satu-satunya cara untuk memulihkan alam semulajadi,” kata pakar marin, Thon Thamrongnawasawat di Bangkok.

Lebih tiga suku terumbu karang di Thailand telah dirosakkan oleh peningkatan suhu laut dan pelancongan yang tidak terkawal, kata Thon yang sebelum ini pernah mencadangkan supaya pengunjung ke 22 taman laut di Thailand dihadkan kepada enam juta setahun bagi membolehkan pemulihan semula.

Ketika ini jumlahnya adalah kira-kira 5.5 juta, katanya.

Thailand telah menutup belasan kawasan menyelam daripada dikunjungi pelancong pada 2011 selepas berlakunya peningkatan suhu laut yang luar biasa dan telah menyebabkan kerosakan teruk terumbu karang di Laut Andaman, salah satu kawasan selaman skuba paling terkenal di dunia.

Ia turut menutup beberapa pulau pada 2016.

Negara yang kaya dengan pantai yang cantik itu memperoleh pendapatan kira-kira 12 peratus hasil daripadaa sektor pelancongan.

Kerajaan menjangkakan 38 juta pelancong bakal melawat negara itu pada tahun ini.

Di Filipina yang merupakan antara kawasan yang sangat terkesan akibat perubahan iklim menyaksikan kira-kira dua juta pelancong telah melawat pulau Boracay pada tahun lalu.

Dalam lawatannya bulan lalu, Presiden Rodrigo Duterte memanggil pulau tersebut sebagai tempat pembuangan sampah kerana bahan buangan disalurkan terus ke laut.

Beliau turut memberi amaran pencemaran alam sekitar yang teruk bakal berlaku apabila bangunan-bangunan dibina terlalu hampir dengan pantai.

Agensi-agensi kerajaan diminta supaya menutup pulau berkenaan selama enam bulan untuk membetulkan masalah tersebut.

Bagaimanapun, ia akan menjejaskan lebih 36,000 pekerja, kata pengendali pelancongan.

“Kami sokong cadangan kerajaan yang mahu melaksanakan amalan pelancongan yang bertanggung jawab dan lestari namun bukan dengan menutup keseluruhan pulau,” kata Persatuan Agensi Pelancongan Filipina. – Agensi