Home Sukan Marcote diberi tugas baharu – KFA

Marcote diberi tugas baharu – KFA

Ramon Marcote

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) menegaskan, jurulatih pasukan itu Ramon Marcote tidak direhatkan, sebaliknya diberi peranan baharu dalam mengendalikan pasukan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus berkata, prestasi jurulatih kelahiran Sepanyol itu menjadi bualan sejak akhir-akhir ini ekoran kekalahan pasukan tersebut dalam beberapa perlawanan penting, selain terlepas peluang merebut trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini.

“Pihak pengurusan tertinggi melakukan beberapa perubahan dalam sistem kejurulatihan skuad Hijau Kuning dengan melantik Ramon Marcote sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

“Ia bagi memantau projek pembangunan sedia ada dan merangka persediaan skuad hijau kuning bagi jangka masa panjang melalui peranan baharu beliau dalam KFA.

“Jawatan ketua jurulatih skuad Liga Super Kedah akan dipangku oleh Penolong Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusof buat masa ini.

“Keputusan ini diambil memandangkan pihak pengurusan mendapat maklum balas teknikal daripada semua pihak mengenai kelebihan pengalaman dan tahap kelulusannya dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan yang boleh dimanfaatkan semua pemain dan jurulatih di negeri Kedah,” katanya.

Harapan yang disandarkan oleh semua penyokong setia Lang Merah tidak kesampaian apabila melihat keputusan tidak menyebelahi Marcote setakat ini.

Berikutan situasi itu, KFA telah mengambil keputusan tersebut selepas mengadakan beberapa rundingan.

Dalam perkembangan sama, Yusdi berkata, antara sasaran jangka pendek buat Marcote adalah untuk melihat kembali struktur kejurulatihan semua pasukan di bawah kendalian KFA dan merangka program-program latihan buat jurulatih bola sepak.

“Di samping itu memantau perkembangan pemain-pemain bagi mencapai sasaran jangka panjang iaitu menyediakan pasukan pada musim hadapan.

“Satu perbincangan telah diadakan antara Ramon Marcote dan pihak pengurusan dan peranan besar ini telah diperhalusi dan dilihat langkah terbaik bagi kedua-dua pihak untuk kemajuan bola sepak di negeri Kedah. KFA mengucapkan selamat maju jaya buat Ramon Marcote dengan tugasan barunya!.” ujarnya. – MalaysiaGazette