Home Dunia Starbucks perlu letak amaran kanser pada kopi

Starbucks perlu letak amaran kanser pada kopi

LOS ANGELES – Starbucks Corp dan penjual kopi lain mesti meletakkan amaran kanser mengenai kopi yang dijual di California.

Perintah itu dikeluarkan oleh seorang hakim Los Angeles bagi mengelakkan syarikat-syarikat berkenaan terdedah kepada denda berjuta-juta dolar.

Ada sebuah kumpulan yang bukan berdasarkan keuntungan telah menyaman kira-kira 90 peruncit kopi, termasuk Starbucks, dengan alasan mereka melanggar undang-undang California yang menghendaki syarikat memberi amaran kepada pengguna berhubung bahan kimia yang digunakan dalam produk sehingga boleh menyebabkan kanser.

Salah satu daripadanya adalah acrylamide, hasil sampingan kopi biji panggang yang terdapat pada peringkat tinggi dalam kopi biji.

Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Elihu Berle dalam keputusan pada Rabu berkata, Starbucks dan syarikat-syarikat lain gagal menunjukkan tidak terdapat risiko signifikan daripada karsinogen yang dihasilkan dalam proses pemanggangan kopi.

Starbucks dan defendan lain mempunyai masa sehingga 10 April untuk membuat bantahan.

Starbucks enggan mengulas dengan merujuk kepada kenyataan oleh Persatuan Kopi Kebangsaan (NCA) yang mengatakan industri sedang menimbangkan rayuan dan tindakan undang-undang selanjutnya.

“Label amaran kanser pada kopi akan memberi kekeliruan . Garis Panduan Diet Amerika Syarikat. menyatakan bahawa kopi boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup sihat,” kata kenyataan NCA.

Dalam keputusannya, Berle berkata: “Defendan gagal memenuhi beban untuk membuktikan penggunaan kopi memberi manfaat kepada kesihatan manusia.”

Jurucakap dari Dunkin ‘Donuts, McDonald’s Corp, Peet dan penjual kopi besar lain juga tidak memberi respons segera berhubung isu itu. – MalaysiaGazette