Beberapa pasukan Formula 1 mahu Pasukan Haas yang menggunakan enjin Ferrari disiasat berhubung insiden pada GP Terbuka Australia yang didakwa kejuaraannya memihak kepada Ferrari secara meragukan.-The Sun

LONDON – Beberapa pasukan Formula Satu (F1) mahu pasukan pelumba Haas disiasat berhubung insiden jentera mereka di Granx Prix Australia minggu lalu.

Mereka mendakwa Haas mungkin bertukar maklumat dengan Ferrari semasa perlumbaan di Australia sehingga dengan sengaja membantu Ferrari menjuarai perlumbaan itu.

Ketua Eksekutif Force India, Otmar Szafnauer memuji perkembangan menakjubkan Haas sebagai ‘magik’.

Pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu  hanya menyertai F1 pada 2016 tetapi mengejutkan pelumba lain di Melbourne selepas layak pada kedudukan keenam dan tujuh pada permulaan perlumbaan.

Walaupun aksi Kevin Magnussen dan Romain Grosjean terjejas ekoran insiden kerosakan jentera masing-masing, namun pasukan lain meragui kadar kemajuan pasukan itu.

Haas menggunakan peralatan dan enjin Ferrari sementara pembuat casis pasukan itu, Dallara menggunakan terowong angin milik skuderia itu.

Peraturan ketat sukan F1 melarang pasukan berkongsi maklumat mengenai peralatan yang sepatutnya dihasilkan sendiri.

Malah, terdapat had masa yang boleh digunakan setiap pasukan dalam terowong angin.

Pasukan-pasukan F1 khuatir peraturan ketat itu dilanggar untuk membantu Haas dalam perlumbaan tersebut.

Pelumba McLaren turut melabelkan Haas sebagai replika Ferrari semasa Grand Prix Australia di Melbourne minggu lalu.

Pengarah Eksekutif McLaren, Zak Brown berkata: “Kita semua sedia maklum bahawa mereka (Haas) mempunyai kerjasama rapat dengan Ferrari dan perlu memastikan mereka tidak terlalu akrab dalam perlumbaan F1.

“Ia mungkin melibatkan pengaruh dan sudah pasti beberapa alat dalam kereta Haas mirip peralatan Ferrari,” katanya.

Malah Otmar dari Force India mahu kemajuan luar biasa Haas dibincangkan segera oleh kumpulan strategi F1.

“Saya tidak pasti bagaimana mereka dapat melakukanya, ia adalah ‘magik’, perkembangan luar biasa seperti ini tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan dalam Formula 1.

“Saya pelik bagaimana seseorang yang berkecimpung dalam sukan permotoran untuk beberapa tahun sahaja boleh menghasilkan kereta (Haas) hebat sebegini tanpa sumber mencukupi.

“Bahagian aerodinamik perlulah menjadi ciptaan kamu sendiri. Mungkin ia milik mereka. saya hanya ragu-ragu mengenainya. Harap ia disiasat,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik Haas, Guenther Steiner yang menafikan semua dakwaan itu berkata, pasukannya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar peraturan F1.

“Kami mempunyai pasukan yang boleh dibanggakan dengan pencapaian terkini.

“Kami tidak melakukan sebarang salah laku yang boleh mencabar atau bercanggah dengan peraturan Formula 1.

“Setiap kali kami beraksi laju masalah ini dicetuskan oleh pasukan lain seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Kami pasukan Ferrari B. Kami menggunakan enjin yang sama, kotak gear sama, penggantungan enjin yang sama.

“Semua orang tahu suspensi menyediakan banyak aliran, tentunya akan ada persamaan.

“Tetapi kami membangunkan kereta sendiri, hasil kerja keras menghasilkan Haas modal F1 VF-18,” katanya. – Agensi