Peta sempadan pilihan raya bagi kawasan Terengganu.

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka diumumkan bila-bila masa dari sekarang. Semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri termasuk Terengganu sudah berada dalam keadaan bersiap sedia.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dijangka berdepan dengan cabaran sengit apabila PRU kali ini menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru antara komponen BN, komponen Pakatan Harapan (PH), Gagasan Sejahtera (GS) dan Bebas.

PRU-14 ini juga merupakan cabaran pertama bagi Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mengetuai jentera berperang dengan PH dan GS.

PH dibarisi PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), manakala GS pula hanya terdiri daripada Pas, Parti Berjasa serta Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan).

Pas Terengganu melalui Pesuruhjayanya, Datuk Husein Awang awal-awal lagi menyatakan parti itu akan meletakkan calonnya bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Udangan Negeri.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan berapa jumlah kerusi Parlimen dan DUN diperuntukan kepada rakan gabungannya, Berjasa dan Ikatan.

Namun, sumber terdekat memberitahu, Ikatan dan Berjasa tidak minat bertanding, sebaliknya hanya akan memberi sokongan moral dan menyumbangkan jentera berkempen untuk kemenangan Pas.

Tugas berat Ahmad Razif pula ialah bagaimana UMNO dan BN Terengganu hendak mengekang sokongan rakyat kepada Pas dan parti komponan PH seperti PKR, PAN dan PPBM. (DAP tidak boleh bertapak di Terengganu kerana populasi penduduk di negeri Pantai Timur itu majoriti Islam).

Yang pasti PKR dan PAN akan meletakkan masing-masing 10 calon di kerusi DUN dan dua hingga empat kerusi Parlimen. Baki 12 lagi kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen dijangka diberikan kepada PPBM.

Jelas sekali, PRU 14 ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan PH. Jika ada calon Bebas menawarkan diri bertanding sekali pun, ia tidak memberi kesan kepada jumlah undi yang bakal diperolehi oleh parti-parti utama itu.

Bagi UMNO dan BN, jentera empat peringkatnya sudah bersedia 100 peratus dan hanya menunggu isyarat daripada Perdana Menteri.

“UMNO dan BN Terengganu kini hanya menunggu masa sebelum Parlimen dibubarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan sokongan rakyat yang semakin bertambah kita berkeyakinan penuh pada PRU 14 kali ini akan memihak kepada kita dan kita sasarkan untuk mendapat lebih dua pertiga majoriti.

Dapatkah BN menang dua per tiga kerusi DUN dan Parlimen pada PRU 14 kali ini?

Pada PRU-13, BN menang 17 kerusi DUN iaitu Kuala Besut (Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman), Kota Putera (Mohd Mahdi Musa), Jertih (Muhammad Pehimi Yusof), Hulu Besut (Nawi Mohamad), Jabi (Mohd Iskandar Jaafar), Permaisuri (Mohd Jidin Shafee).

DUN Langkap (Sabri Mohd Noor), Batu Rakit (Bazlan Abd. Rahman), Seberang Takif (Ahmad Razif), Pengkalan Berangan (A Latif Awang), Telemung (Rozi Mamat), Kuala Berang (Tengku Putera Tengku Awang) Ajil (Ghazali Taib), Bukit Besi (Roslee Daud), Kemasik (Rosli Othman), Kijal (Ahmad Said) dan Air Putih (Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar).

Pas pula menang 14 kerusi iaitu DUN Tepuh (Hishamuddin Abdul Karim), Teluk Pasu (Ridzuan Hashim), Bukit Tunggal (Alias Razak), Wakaf Mempelam (Mohd Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tengku Omar), Batu Buruk (Syed Azman Syed Ahmad Nawawi).

DUN Alur Limbat dimenangi Ariffin Deraman, Bukit Payung (Mohd Nor Hamzah), Ru Rendang (Abdul Hadi Awang), Manir (Hilmi Harun), Rantau Abang (Alias Harun), Sura (Wan Hapandi Wan Nik), Paka (Satiful Bahari Mamat) dan Cukai (Hanafiah Mat).

Manakala PKR hanya memenangi satu kerusi iaitu Azan Ismail DUN Bandar.

Kerusi Parlimen yang dimenangi BN pula ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Setiu), Datuk Jailani Johari (Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Kemaman).

Pas diwakili Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Abdul Hadi (Marang), Wan Hasan Mohd Ramli (Dungun) dan satu-satunya wakil rakyat PAN ialah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (Kuala Terengganu).

Berdasarkan rekod pilihan raya, Abdul Hadi pernah kalah kepada calon BN dalam PRU-11 tahun 2004 melawan Datuk Abdul Rahman Bakar.

Tidak mustahil BN Terengganu dapat mengulangi rekod itu pada PRU 14 kali ini, apabila para penganalisis dan pemerhati politik meramalkan pertandingan tiga atau empat penjuru memberi peluang besar kepada calon BN untuk menang dua per tiga kerusi Parlimen dan DUN. – MalaysiaGazette