Surat-surat Hari Menghukum umat Islam yang ditularkan sebagai ancaman oleh individu tertentu di AS dan UK sejak Mac lalu.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) diingatkan supaya berhati-hati berikutan penyebaran ancaman ‘Hari Menghukum Umat Islam’.

Risalah itu disebarkan dalam media sosial sejak kebelakangan ini sebagai kempen menyeru melakukan keganasan terhadap umat Islam pada hari ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa dan polis di kedua-dua negara itu memberi jaminan ke atas keselamatan warga Malaysia di sana.

“Pihak berkuasa berjanji sedang menyiasat ancaman yang berbaur ugutan dan tidak menyenangkan itu.

“Malah mereka juga bersedia untuk bertindak tegas sekiranya mana-mana individu umat Islam diancam dalam apa jua bentuk perbuatan sekali pun,” katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di AS dan UK supaya segera mendaftarkan diri dengan mana-mana misi diplomatik Malaysia yang ada di kawasan berdekatan.

Rakyat Malaysia di kedua-dua negara itu diminta supaya mematuhi segala peraturan dan arahan yang dilaksanakan pihak berkuasa polis dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan diri dan ahli keluarga.

Rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat lanjut dan bantuan Konsular Malaysia di negara terbabit dinasihati menghubungi perwakilan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia Washington D.C beralamat 3516, International Court N.W atau talian 1(202)572-9700
atau emel [email protected]

Satu lagi alamat Konsulat General Malaysia di New York 313, East 43rd Street, New York 10017 atau telefon (1-212)490 2722/23.

Warga Malaysia di UK pula boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di London beralamat 45-46 Belgrave Square, London SW1X 8QT atau talian 00(44207) 235 8033 atau emel [email protected]

Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-keras tindakan individu dan organisasi yang menggalakkan kebencian sebegitu.

Malaysia memuji usaha dan segala langkah pihak berkuasa yang mahu menjamin keselamatan dan menangani sebarang ancaman berkenaan.

Kementerian Luar menerusi Perwakilan Malaysia di negara berkenaan akan terus memantau ancaman ini dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan warga Malaysia terpelihara.

Difahamkan, pada Mac lalu, risalah-risalah rancangan ‘menghukum’ Muslim di negara itu telah diedarkan melalui pos di bandar-bandar utama dan di media sosial yang mencadangkan cara untuk menyakiti orang Islam dan memberi mata ganjaran bagi ‘hukuman’ tertentu.

Malah polis British yang menyiasat surat itu menganggap ia sebagai satu tindak balas terhadap beberapa siri serangan yang dicetuskan oleh pihak ISIL di Eropah di mana empat daripadanya berlaku di UK pada tahun 2017.- MalaysiaGazette