Azmin menyediakan ramuan untuk memasak rendang ayam

KUALA LUMPUR – Selepas isu mengenai rendang ayam crispy yang hangat diperkatakan di media sosial sehingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri, hari ini Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula tidak ketinggalan.

Menteri Besar Selangor itu juga mengambil peluang secara sinis mengkritik juri program masakan realiti, MasterChef UK, John Torode.

Mohamed Azmin hari ini memuat naik status dan gambar-gambar di Facebook cara-cara untuk membuat rendang ayam.

Beliau menunjukkan skil memasak dan membantu menyediakan sekawah rendang.

“Orang putih ada hati ajar orang Malaysia cara masak rendang.

“Meh sini Chef Min ajar masak rendang. Oh ya, ayam rendang tak ‘crispy’ ya?” tulis Azmin di ruangan statusnya.

Bagaimanapun, tidak diketahui maklumat sebenar dimana Mohamed Azmin menunjukkan bakat memasak rendang itu.

Peserta program masakan realiti, MasterChef UK, Zaleha Kadir Olpin baru-baru ini mendapat kritikan pedas daripada Torode apabila hidangan rendang yang dimasak dikatan tidak rangup.

Perkara tersebut mendapat perhatian banyak pihak terutama netizen selepas ia menjadi tular.

Bukan sahaja Datuk Seri Najib Razak malah chef selebriti terkenal negara, Datuk Chef Wan Ismail berang dengan komen yang diberikan Torode terhadap makanan tradisi negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut memberikan reaksi terhadap perkara itu apabila menyifatkan isu rendang Zaleha telah meningkatkan patriotisme serta berjaya ‘menyatukan’ rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Azmin menerusi status tersebut turut berkata, rakyat Malaysia berbangga dengan masakan tradisi mereka.

“Kami rakyat Malaysia bangga dengan hidangan kami dan kami tahu bagaimanana nak sedia dan hidang.

“Sila terbuka dengan tradisi kami dan kamu akan belajar sesuatu,” ujarnya. – MalaysiaGazette