PADA Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, Barisan Nasional (BN) Johor menguasai 21 daripada kesemua 26 kerusi Parlimen.

DAP pula memperoleh empat kerusi Parlimen daripada enam kawasan bertanding manakala PKR pula dapat satu kawasan Parlimen daripada 12 kawasan bertanding.

Ketika itu, gagasan Pakatan Rakyat meliputi Pas bersama-sama menentang BN.

Namun, Pas tewas di semua kerusi yang ditandinginya.

Keputusan PRU ketika itu memperlihatkan ada lapan kerusi yang dianggap sebagai kawasan merah yang sangat berbahaya kepada BN Johor.

Lapan kerusi Parlimen tersebut mendapat kurang daripada 3,500 undi ke bawah.

Antara kerusi Parlimen itu ialah Labis iaitu kerusi yang disandang calon BN, Chua Tee Yong dari MCA dan beliau hanya mendapat kemenangan tipis dengan undi sebanyak 353 sahaja.

Undi rosak lebih tinggi jumlahnya, iaitu sebanyak 689 undi.

Sudah tentu ia menjadi laluan sukar kepada MCA berhadapan dengan gelombang DAP pada PRU-14.

Kerusi Parlimen Pasir Gudang pula, BN hanya memperoleh majoriti 935 undi apabila bertembung dengan lawannya dari PKR.

Segamat pula BN hanya memperoleh majoriti 1,217 undi manakala Muar memperoleh majoriti mudah 1,646 undi.

Tebrau pula memperoleh majoriti nipis 1,767 undi manakala Ledang 1,967 undi.

Kawasan Parlimen Sekijang juga turut dijangka mengalami laluan sukar kepada BN apabila pada PRU-13 hanya memperoleh 3,007 undi majoriti manakala Pulai pula menang 3,226 undi.

Sekiranya perubahan undi kurang beberapa peratus saja, ia berupaya memberikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Walaupun tahap sokongan undi peneroka FELDA mencapai hampir 90 peratus jumlah yang mengundi BN di Johor namun di beberapa kawasan Parlimen – BN dilihat masih sukar mengekang kemaraan pembangkang.

Sebagai contoh di Sekijang, Labis dan Tebrau – BN menang namun kemenangan itu disokong oleh undi peneroka Felda.

Namun, berdasarkan sejarah PRU di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia didapati pembangkang tetap menang di beberapa kerusi Parlimen meskipun mempunyai kelebihan undi Felda.

Di Johor, contoh yang jelas ialah di Kulai, DAP tetap dapat menang meskipun wujud undi Felda.

Berdasarkan analisis keputusan PRU lepas, ternyata terdapat lapan kawasan Parlimen yang merah di Johor.

Kawasan merah tersebut ialah Labis, Pasir Gudang, Segamat, Muar, Tebrau, Ledang, Sekijang dan Pulai.

Petunjuk itu tentulah mencemaskan bagi BN kerana cuma menang dengan hanya majoriti tipis atau undi yang dimenangi semakin berkurangan.

Begitu juga dengan Parlimen Pagoh yang kini bertukar milik daripada UMNO kepada PPBM apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin tersingkir daripada UMNO dan memakai logo parti baru itu pada PRU kali ini.

Sekiranya kelapan-lapan kerusi majoriti nipis berjaya diambilĀ  oleh PH maka mereka sudah ada 14 kerusi kesemuanya di Johor.

Namun gerak kerja BN Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga dilihat memberi impak positif terutama berjaya dan mendapat A selepas membentangkan kad laporan prestasi baru-baru ini.

Menurut rata-rata pandangan politik, Faktor wow itu perlu diteruskan BN dengan mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat selain cepat menangkis dakwaan pembangkang yang dilihat benar-benar mahukan Johor terutama DAP.

Jangan sesekali selesa kerana menganggap Johor deposit tetap BN selamanya.

Mereka kena ingat Johor negeri ‘kelahiran’ UMNO dan mengekalkan kekuasaan adalah tanggugjawab berat Mohamed Khaled.- MalaysiaGazette