Home Nasional Pasukan cantas bersiap-siaga di kawasan panas – KPN

Pasukan cantas bersiap-siaga di kawasan panas – KPN

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

KUCHING – Pasukan Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah seliaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri bersiap siaga bagi menghadapi sebarangan kemungkinan di beberapa lokasi panas bagi memastikan pilihan raya umum ke 14 (PRU 14) berjalan dengan lancar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata  setakat ini sebanyak 171 kawasan panas telah dikenal pasti dan tugasan Pasukan Cantas ini adalah untuk memastikan invididu yang berpotensi menimbulkan kekacauan tidak mencetuskan sebarangan insiden yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam semasa PRU-14 itu berlangsung kelak.

“Polis akan terus membuat penilaian dari semasa ke semasa di lokasi panas yang telah dikenal pasti bagi menambah sebarang keperluan keanggotaan.

“Di Sarawak ini, keadaan keselamatannya amat terkawal, dijangka tidak akan ada masalah yang serius semasa tempoh pilihan raya kerana di Sarawak ianya melibatkan 31 kawasan parlimen sahaja, tidak seperti  di Sabah dan semenanjung yang melibatkan pilihan raya peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas selepas menyempurnakan mesyuarat bersama 28 Ketua Polis Daerah negeri di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, polis akan memberikan penekanan terhadap isu-isu keselamatan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada  individu yang cuba menimbulkan masalah serta menganggu gugat keamanan.

“Kita juga telah menyediakan  Pasukan Light Strike Force (LSF) yang secukupnya untuk mengawal keadaan,  sekiranya terdesak Pasukan Gerakan Am (PGA) akan digunakan.

“Diharap masalah keselamatan sepanjang tempoh pilihan raya nanti kita dapat ditangani dengan berkesan, doakan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Tambahnya, daripada 9,178 orang pegawai dan anggota, sejumlah 7,017 sahaja yang akan bertugas semasa PRU-14 manakala yang selebihnya akan menjalankan tugasan harian di balai. – MalaysiaGazette