KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini mengumumkan akan bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Beliau merupakan satu-satunya calon Barisan Nasional (BN) yang secara terbuka mengesahkan perkara berkenaan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum membuat pengumuman rasmi senarai calon PRU-14.
“Memang bercadang untuk berundur selepas ini, boleh tulis buku. Ini kerana keadaan, saya diminta bertanding sekali lagi, untuk mempertahankan BN,” katanya ketika berucap merasmikan buku bertajuk: “Malaysia Tanpa BN?” di bangunan Parlimen hari ini.
Shahrir selaku Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) mengakui agak keberatan untuk bertanding semula sebelum ini.
“Bukan satu keberatan (bertanding) kerana kehendak parti. Tapi hasrat saya nak mengetengahkan peranan anak muda, beri peluang kepada anak muda, walaupun mereka tiada tempat sebagai ahli Parlimen.
“Mungkin selepas PRU-14, ada penyelarasan beri peluang anak muda di Johor Bharu. Sungguh pun saya ini agak tua tapi sumbangan anak muda, kita boleh salurkan, kita gemblengkan. Bergantung kepada bagaimana tafsirkan politik itu,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri meminta agar Shahrir untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru bagi memastikan kemenangan UMNO dan BN pada PRU-14.
Hasrat Najib selaku Presiden UMNO disampaikan semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru pada 25 Ogos 2018.
Harapan sama turut disuarakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Perdana Menteri berkata, permintaan itu dibuat berdasarkan ‘The Shahrir Factor’ yang masih ada pada Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu. – MalaysiaGazette
















