KUALA LUMPUR – Masyarakat India tidak memandang strategi politik Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mereka lebih mementingkan peluang wakil mereka menggalas jawatan menteri sekiranya pembangkang membentuk Kerajaan Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao tidak melihat perkara itu mampu ditunaikan PH susulan wakil India tidak diberi peluang secara adil untuk mengisi pucuk pimpinan parti mereka.
“Berapa jawatan Menteri untuk kaum India jika PH tawan dan menang Putrajaya?
“Dalam DAP pun suara kaum India tidak didengari, dalam PKR juga begitu, apatah lagi dalam PPBM dan PAN yang tidak langsung membuka keahlian untuk kaum India,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada masa ini, di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, katanya, peluang itu diberikan secara adil kepada wakil komuniti India iaitu Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan dan empat yang lain sebagai timbalan menteri.
Antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M Saravanan; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J Loga Bala Mohan; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany.
Ramesh juga mendesak pemimpin pembangkang khususnya Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab persoalan itu kerana kaum India mahu jawapannya.
“Jika Menteri dalam kerajaan PH tidak ada daripada bangsa India, siapa yang akan memperjuangkan nasib bangsa itu jika pembangkang menerajui kerajaan?” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
















