KUALA LUMPUR – ‘Saya menghambakan dirinya terhadap rakyat selama lima tahun lalu di atas kepercayaan dan mandat yang dipertanggungjawabkan mereka kepadanya,”

Itu kata Khairy Jamaluddin yang berkongsi pendapatnya dalam ruang Facebooknya selepas selesai mesyuarat kabinet terakhir bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyifatkan jawatan menteri yang disandang selama lima tahun lalu itu membawa maksud ‘hamba’ dalam bahasa inggeris dan berasal dari akar bahasa LatinĀ  ‘kurang’.

Katanya, seorang menteri tidak seharusnya diangkat ke tempat tertinggi dalam protokol atau diberikan sebarang keistimewaan.

“Seorang menteri perlu sedar rakyat tidak ada terhutang apa pun dengannya, sebaliknya dialah yang berhutang dengan mereka.

“Berhutang dedikasi dan integriti untuk setiap undi yang diterjemahkan sebagai kepercayaan yang telah mereka berikan kepadanya untuk berkhidmat demi Negara,” katanya dalam ruang Facebook beliau lewat petang tadi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO dengan rendah diri turut memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia untuk sebarang kekurangan,kelemahan dan kesilapan selama beliau menggalas mandat dan amanat rakyat sepanjang lima tahun yang lalu.

“Saya telah cuba dengan sedaya upaya dan kudrat yang ada untuk memberikan yang terbaik, berpedomankan kecintaan tidak berbelah bahagi kepada negara serta hasrat dan cita-cita menggunung untuk sama-sama melahirkan Malaysia yang lebih baik, demi setiap daripada anak bangsanya,” ujarnya.

Dalam ruang sama, Khairy menyatakan beliau telah menunggu sehingga perdana menteri meninggalkan bilik mesyuarat untuk bersalam dengannya sambil menzahirkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan Najib kepadanya.

“Thank you sir for giving me the honour of serving the country for the last five years.” Sesungguhnya, ia merupakan penghormatan terbesar yang pernah saya terima untuk seumur hidup saya.- MalaysiaGazette