Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menunjukkan sebahagian contoh susu segar sambil diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Hj. Aminudin Adam, Ketua Pegawai Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal (dua kanan) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Suraiya Syed Mohamed pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kompleks E, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI 06 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Sebanyak 32 buah sekolah rendah dan menengah terpilih seluruh negara bakal bertanding bagi merebut hadiah wang tunai RM24,000 menerusi Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 bermula bulan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan 1,  Datuk P. Kamalanathan berkata, program tersebut diadakan bagi meningkatkan kefahaman pengusaha kantin mengenai kepentingan membudayakan amalan kesihatan, keselamatan dan kebersihan makanan.

Jelas beliau, pada masa sama, program itu turut menerapkan budaya penyediaan makanan yang sihat dan selamat di setiap serta meningkatkan kesedaran kepada warga sekolah mengenai kepentingan kesihatan, kebersihan dan keselamatan makanan.

“Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 sudah semestinya menjalin kerjasama antara pengusaha kantin, warga sekolah dan Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG).

“Pihak kementerian mahu pengiktirafan diberikan kerana ketiga-tiga kelompok ini iaitu pengusaha sekolah, warga sekolah dan PIBG merupakan enjin dalam meningkatkan mutu kesihatan, kebersihan dan keselamatan kantin sekolah,” katanya ketika  merasmikan majlis pelancaran program tersebut di kementeriannya di sini hari ini.

Program Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 merupakan anjuran bersama Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. (Farm Fresh) sebagai penaja utama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menerusi program itu, sekolah yang bertanding perlu melaksanakan promosi pendidikan kebersihan dan keselamatan makanan di kantin sekolah.

Antara lain, pihak sekolah akan terlibat secara aktif dalam bengkel, taklimat kepada peserta, kaji selidik impak program, penjurian, penyampaian anugerah, perbincangan pasca program dan akhirnya menerbitkan laporan program.

Kamalanathan menambah, disebabkan ia adalah tahun pertama penganjurannya, Farm Fresh akan membantu kementerian melancarkan dan melaraskan perjalanan.

Ujar beliau, laman web khusus untuk Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 juga disediakan bagi semua pihak berinteraksi serta mendapat maklumat-maklumat berkaitan dengan pengurusan kantin, kebersihan kantin, panduan makanan sihat, keselamatan makanan dan lain-lain.

“Kerjasama pihak Kementerian Kesihatan dalam menyediakan bahan-bahan berkaitan makanan sihat dan keselamatan makanan dapat memastikan setiap usaha kerajaan tercapai,” katanya.

Sementara itu, program Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018  mempunyai tiga elemen iaitu Sistem Pengurusan Kantin Sekolah, Sistem Penyediaan dan Penjualan Makanan Kantin Sekolah dan Kerjasama Pengusaha Kantin, Sekolah dan PIBG.

Sebanyak enam pemenang keseluruhan akan diberikan anugerah semasa majlis penyampaian anugerah yang dijadualkan pada Oktober ini.

Anugerah  Kantin 2018 akan diberikan kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.

Johan akan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, naib Johan RM4,000 manakala  tempat ketiga akan menerima RM3,000.

Hadiah sagu hati pula akan menerima hamper barangan bersama sijil penyertaan.

Setiap anugerah wang tunai itu diagihkan kepada tiga pihak membabitkan 60 peratus diberikan kepada pengurusan kantin, 30 peratus untuk pengurusan sekolah manakala baki 10 peratus akan diserahkan kepada PIBG. – MalaysiaGazette