Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman akan menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin esok bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi kenyataan Pejabat Menteri Besar, pertemuan tersebut akan berlangsung di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Pertemuan itu dipercepatkan dari tarikh perancangan asal yang sepatutnya Rabu ini, bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14, selari dengan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa semalam.

“Sidang akhbar khas akan diadakan pada 11 pagi tarikh sama di Wisma Darul Iman,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan masing-masing empat disandang BN dan PAS. BN menang 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri manakala PAS (14) dan PKR (satu). – Bernama