PARLIMEN Tanjung Piai yang terletak di Pontian merupakan satu lagi kawasan bagi kerusi panas di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Parlimen itu telah berjaya ditawan oleh tiga calon Barisan Nasional (BN) menerusi parti MCA sejak lima penggal lalu.

Antara wakil rakyat tersebut ialah Goh Lai Heng, Tan Sri Ong Ka Ting serta penyandangnya sehingga kini iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Sebelum ini, Parlimen di kawasan tersebut hanya satu namun selepas dilakukan persempadanan semula ia terbahagi terpisah dua dengan satu Parlimen lagi diwujudkan iaitu Tanjung Piai.

Pada PRU-14 ini, UMNO dikatakan berhasrat mahu mengambil kerusi tersebut daripada MCA sebagai giliran selepas dipegang parti itu sejak sekian lama.

Ura-ura mengatakan bahawa jika MCA memberi peluang kepada UMNO, calon yang akan diletakkan di Parlimen berkenaan adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.

Pencalonan itu adalah berdasarkan kepada pengalaman Jefridin yang luas dalam dunia politik selain dikenali masyarakat setempat.

Menurut laporan pada Januari lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa Jeck Seng kekal calon Parlimen Tanjung Piai pada PRU-14.

Pengumuman tersebut dibuat di Bilik Gerakan MCA Bahagian Tanjung Piai yang turut disusuli dengan nama calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas iaitu Tan Eng Meng.

Bagaimanapun, ada suara-suara dalam parti itu yang mahu Jeck Seng diletakkan sebagai calon DUN Pekan Nanas bagi merampas kembali kerusi berkenaan yang dimenangi oleh DAP pada PRU-13 lalu.

Langkah itu adalah disebabkan pengaruh dan kedudukan Jeck Seng sebagai Pengerusi MCA Tanjung Piai yang dilihat mampu menyaingi calon Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.

Desas-desus menyatakan bahawa Pakatan Harapan telah menyenaraikan lima nama untuk dijadikan calon di kerusi P165 itu.

Namun, setakat ini penulis hanya dimaklumkan bahawa Pakatan Harapan hanya akan meletakkan calon berprofil tinggi serta yang mempunyai ketokohan untuk diletakkan di kerusi itu.

Pada PRU1-3 lalu, calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan memperoleh 25,038 menewaskan calon DAP, Mahdzir Ibrahim dengan majoriti undi sebanyak 5,457. – MalaysiaGazette