Idris Haron.
Idris Haron.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri itu berkata buat masa ini, kemenangan besar parti pada PRU14 lebih menjadi keutamaan berbanding kehendak peribadi.

“Setakat hari ini saya masih Pengerusi Perhubungan negeri, apa pun berlaku saya memegang amanah yang diletakkan pada bahu saya ketika ini.

“Sebagai Pengerusi Perhubungan negeri, Ketua Menteri dan Pengarah Pilihan Raya Umum BN Melaka, tanggungjawab saya ialah memastikan kemenangan BN pada PRU14,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kira-kira 58 ketua cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu di sini, tengah malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukannya sama ada untuk bertanding pada kerusi dewan undangan negeri atau parlimen pada PRU14 ini.- BERNAMA