Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd. Ridzuan Abdullah menafikan satu rakaman video yang tular memaparkan seorang individu mewakili Barisan Nasional (BN) yang membayar RM3,000 kepada seorang mangsa kebakaran adalah dirinya.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau hari ini menerima banyak panggilan termasuk daripada pihak media yang bertanyakan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, selepas melihat rakaman tersebut, Mohd. Ridzuan mengakui mengenali individu tersebut.

“Bukan, itu bukan saya. Ramai yang menelefon hari ini bertanyakan tentang hal itu.

“Mungkin disebabkan wajahnya mempunyai iras seperti saya tetapi itu bukan saya. Dia tidak ada kaitan keluarga pun,” katanya.

Sejak semalam, satu rakaman video yang memaparkan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim tular di beberapa media sosial menunjukkan beliau ingin membayar RM3,000 kepada seorang individu.

Menerusi video tersebut Mutalif dilihat mahu memberikan wang itu kepada mangsa setelah bengkelnya terlibat dalam kebakaran.

Sementara itu, Mutalif dalam satu sidang media selepas membuat laporan polis hari ini mengakui beliau memberikan wang berkenaan kepada individu tersebut yang dikenali sebagai Azmi ekoran bersimpati atas kejadian yang menimpanya pada Isnin lalu.

Mutalif turut mendakwa dirinya menjadi mangsa berita palsu kononnya beliau ‘membeli’ warganegara asing atau Bangladesh untuk mengundi BN.

Cerita itu dakwanya satu rekaan yang cuba memburukkan imejnya.

Malah, Mutalif turut mendakwa maklumat yang disebar di Facebook setelah dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu kononnya beliau membayar warga asing supaya mengundi BN agar kerajaan negeri Selangor dapat ditumbangkan tidak benar.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan turut meminta agar tidak ada pihak yang cuba memanipulasi video tersebut dengan mengaitkan dirinya lagi selepas ini.

“Saya harap ia tidak menjadi satu isu besar. Maklumlah, hendak menjelang PRU-14 ini macam-macam perkara boleh terjadi,” jelas beliau.

Bagaimanapun beliau juga menasihati mana-mana calon yang mahu bertanding dalam PRU-14 tidak kira mewakili mana-mana parti supaya mengamalkan kempen secara sihat dan berhemah.- MalaysiaGazette