PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa tindakan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mendera dan menyebabkan 80 peratus badan rakan mereka Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain melecur akibat tekapan seterika wap adalah perbuatan yang melampau.

Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai berhujah terdapat keterangan menunjukkan lima bekas penuntut itu atas arahan seorang lagi rakan mereka bergilir-gilir menekap seterika pada anggota badan si mati (Zulfarhan) kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan mengakibatkan beliau mengalami 90 kesan lecur yang menyebabkan kematiannya.

Lima bekas penuntut itu kini berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri selaku responden pertama hingga kelima manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali selaku responden keenam.

Menurut Mangai, saksi pendakwaan ke-24 (SP24) Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah, yang merupakan bekas penuntut UPNM adalah saksi mata dan keterangan mereka menunjukkan responden pertama hingga kelima secara bergilir-gilir mencucuh atau menekap seterika wap ke atas si mati manakala arahan untuk berbuat demikian telah diberikan oleh responden keenam.

“Oleh itu, perayu (pendakwa raya) memohon agar mahkamah ini dapat menjatuhkan hukuman mati terhadap keenam-enam responden sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya menolak perbuatan membuli dan penderaan melampau.

“Pihak kami juga mohon supaya mahkamah ini mensabitkan mereka di bawah pertuduhan asal iaitu membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang berhujah dalam rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM itu kerana didapati bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.

Mangai turut berhujah, SP6 iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad yang menjalankan bedah siasat ke atas jasad si mati mendapati kecederaan luka lecur itu menjadi punca kematian Zulfarhan.

“Menurut SP6, daripada 90 kesan lecur pada badan si mati, 29 daripadanya adalah pada tahap ketiga iaitu paling serius, menampakkan otot yang masih basah dengan cecair dan berdarah. Kesan lecur berkenaan akan menyebabkan kematian walaupun rawatan diberikan kepada si mati,” katanya.

Dalam pada itu, Mangai berhujah ibu si mati telah memberikan pernyataan impak mangsa yang menyatakan beliau trauma untuk membenarkan anak-anak lain memasuki badan beruniform kerana mempunyai tanggapan negatif terhadap badan beruniform itu yang telah meragut nyawa anaknya.

“Ibu si mati memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada responden dan membuka mata dan minda masyarakat agar kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Muhammad Najib, berhujah bahawa hakim bicara gagal menghargai pembelaan anak guamnya dan tidak mempertimbangkan keterangan saksi pembelaan ke-20 (SD20), Muhammad Alif Farhan Aerosni.

“SD20 adalah saksi penting untuk anak guam saya dan dalam keterangan sebelum ini, saksi itu menyatakan dia ada bersama Muhammad Najib pada tarikh kejadian (21 dan 22 Mei 2017) untuk belajar di bilik seorang rakan mereka,” kata peguam itu.

Peguam Datuk Hazman Ahmad, yang mewakili Mohamad Shobirin pula, berhujah anak guamnya mengakui mencucuh seterika pada kaki Zulfarhan, namun perbuatan itu berlaku sekali sahaja.

“Adakah perbuatan mencucuh sekali boleh dikategorikan sebagai satu perbuatan jenayah? Jika ia betul dilakukan, ia dilakukan tanpa niat,” katanya dan menambah hukuman 18 tahun yang dikenakan terhadap anak guamnya adalah terlampau tinggi.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut universiti itu kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.

Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesemua mereka  didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antarajam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017. Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Perbicaraan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here