Antonio Guterres

NEW YORK – Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB)  mendesak lima anggota tetap Majlis Keselamatannya untuk membuat keputusan muktamad berhubung konflik dan peperangan yang semakin berlarutan di Syria.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyuarakan rasa bimbang kebimbangannya kepada lima anggota tetap Majlis Keselamatan berikutan konflik di Syria.

Jelas Guterres, sebagai badan ‘penyelamat’ konflik sebegini, kebuntuan dan sikap berdiam diri ini perlu dielakkan.

“Konflik ini semakin berlarutan, Majlis Keselamatan perlu mengambil keputusan secepat mungkin sebelum ianya menjadi lebih tidak terkawal.

“Saya kesal, sehingga ke hari ini, PBB masih lagi gagal mencapai sebarang persetujuan.

“Kita adalah badan keamanan, kita perlu lebih tegas dan mencari jalan penyelesaian dengan cepat, bukan biarkan ianya berterusan seperti ini,” katanya.

Gutteres merujuk kepada lima anggota negara termasuk  Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Perancis dan Britain.

Semalam, media antarabangsa melaporkan serangan senjata kimia terhadap penduduk Syria telah menyebabkan sebanyak 41 individu terbunuh yang turut mendapat kecaman dunia.

Angka kematian jauh lebih tinggi selain pasukan penyelamat pertahanan awam menganggarkan jumlah korban seramai 150 orang setakat ini.

Menurut Guterres, sekiranya lima anggota yang juga kuasa veto terus membiarkan kesengsaraan berterusan, ianya akan menjadi lebih parah dan sukar untuk di kawal.

Dalam pada itu, Rumah Putih dalam kenyataan berkata, Presiden, Donald Trump dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan membincangkan krisis di Syria dan bersetuju untuk bergandingan menangani konflik ini.

Jelas kenyataan itu, Trump telah berbual tentang konflik tersebut dan kedua-dua pemimpin dunia itu bersetuju untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih mendalam dalam masa terdekat.

“Kedua-dua pemimpin berkenaan bersetuju untuk menghubungi secara lebih kerap dan mengikuti perkembangan di negara yang sedang bergolak itu,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, sebuah resolusi baharu mengenai siasatan serangan senjata kimia di Syria akan diveto oleh Rusia yang merupakan sekutu kuat negara tersebut.

AS dalam pada itu memohon kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) untuk mengundi bagi resolusi tersebut. – Malaysia Gazette