Home Ekonomi Pengeluaran getah Februari susut

Pengeluaran getah Februari susut

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 14.9 peratus pada Februari 2018 kepada 63,246 tan metrik berbanding Januari 2018.

Manakala bagi perbandingan tahun ke tahun pengeluaran menurun sebanyak 28.7 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata, harga purata bulanan Lateks Pekat dan Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M 20) pada Februari 2018 adalah 456.69 sen sekilogram dan 563.14 sen sekilogram, masing-masing menurun sebanyak 3.8 peratus dan 4.2 peratus berbanding Januari 2018.

Eksport getah asli pada Februari 2018 dicatatkan sebanyak 49,627 tan metrik, naik 5.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Lima destinasi utama eksport getah asli adalah China, Jerman, Iran, Finland dan Amerika Syarikat.

Penggunaan domestik getah asli pula menyusut 10.5 peratus kepada 39,586 tan metrik pada Februari 2018 berbanding bulan sebelumnya.

Industri terbesar menggunakan getah asli adalah industri sarung tangan getah iaitu 29,654 tan metrik (74.9%).

Manakala dari segi stok, paras stok getah asli meningkat 11.4 peratus kepada 285,616 tan metrik pada akhir Februari 2018. – MalaysiaGazette