Gambar hiasan

ALOR SETAR – Saingan tiga penjuru akan memudahkan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memandangkan sokongan kepada Pas hanya tinggal sedikit sahaja, kata Presiden PAN (Parti Amanah Negara) Mohamad Sabu.

Mohamad atau dikenali Mat Sabu berkata blok pembangkang berpeluang cerah dalam menghadapi pilihan raya kali ini dan yakin pengundi atas pagar akan menyokong mereka kali ini berbanding Pas.

“Kami yakin tiga penjuru lebih mudah nak menang, saya rasa Pas hanya tinggal pengundi terasnya sahaja… dan kita dapat sokongan pengundi atas pagar, kaum-kaum lain dan penyokong-penyokong Amanah, PPBM dan PKR

“Kita nampak peluang nak menang itu adalah cerah,” kata beliau dalam ceramah semalam di Hutan Kampung.

Ujarnya, Pas kini dalam keadaan terperangkap apabila pendedahan berhubung menerima dana daripada UMNO gagal ditangkis mereka dan ini memberikan persepsi tidak baik dikalangan pengundi.

“Dan pendedahan dibuat adalah pendedahan kita nampak bahawa setakat ini pihak bekenaan tidak berani membuat report polis, menafikan dan sebagainya

“Semua ini adalah pendedahan dalam bentuk sogokan, kewangan yang sebab itu lah kita nampak dalam Parlimen begitu tumpul Ahli Parlimen Pas,” katanya.

Mohamad juga berkata Pas dilihat mempermainkan orang Islam apabila kedegilan mereka untuk membentangkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 gagal di Dewan Rakyat sehingga ia ditolak begitu sahaja.

“Dan yang paling mempermainkan orang Islam dan penyokong ahli Pas adalah Akta 355, yang akhirnya berakhir itu yang kami dalam Pas dahulu telah bermesyuarat beberapa kali isu ini bahawa perkara ini perlu dibawa oleh pihak berkuasa iaitu kerajaan bukan pembangkang.

“Barangkali mereka bawa ini untuk cari publisiti sehingga akta itu digantung… ini cara mereka bermain dengan UMNO akhirnya berlaku sedemikian rupa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette