Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin akan mengutamakan agenda memperkasakan Bumiputera kerana kesemua parti dalam gabungan itu adalah parti sosialis yang mengutamakan kesamarataan rakyat.

Menurut bekas exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Tun Faisal Ismail, antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) semuanya tidak berasaskan kepada agenda Bumiputera.

Sebagai contoh, pentadbiran negeri Selangor dan Pulau Pinang, tiada langsung program pemerkasaan Bumiputera yang dianjurkan sejak memegang tampuk pemerintahan sejak 2008.

“Dari segi ideologi ia bercanggah sebab itu tidak ada dasar, dan program direncanakan tetapi sepanjang 10 tahun bolehkah pembangkang senaraikan program dan dasar yang dibangunkan untuk laksanakan program Bumiputera,” katanya ketika menjadi ahli panel program Agenda Ekonomi Bumiputera: Siapa lebih juara di Damansara Perdana hari ini.

Ujarnya, PH dilihat tidak mempunyai kepercayaan untuk melaksanakan agenda ekonomi Bumiputera.

Ia dapat diteliti daripada tindakan Pas yang bertindak meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) pada 2015 lalu kerana diketepikan dalam mengetengahkan agenda Islam dan Bumiputera.

“Macam Pas dulu, mereka boleh tulis macam dalam kad laporan Pakatan Rakyat (PR) tetapi bila nak laksanakan akhirnya mereka tahu tidak boleh laksanakan sebab dikelilingi oleh parti yang tidak sama ideologi.

“BN tetap juara dalam mengutamakan agenda Bumiputera kerana ada rekod kejayaan kalau PPBM mereka baru dan hampir berkubur,” katanya. – MalaysiaGazette