Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JUN 2026

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak kerajaan mendedahkan secara terperinci syarat dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dibuat secara telus serta tidak menimbulkan persoalan mengenai kesaksamaan undang-undang.

Selain itu katanya, ia bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap badan kehakiman dan sistem perundangan negara.

“Kerajaan wajar menjelaskan kerangka undang-undang, tatacara dan kriteria yang akan digunakan bagi pelaksanaan tahanan di rumah, termasuk sama ada keistimewaan yang sama boleh dipertimbangkan secara adil kepada banduan lain yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bersatu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, kuasa berkenaan terpakai kepada semua banduan yang berhak memohon pengampunan melalui proses undang-undang.

Mohamed Azmin berkata, parti itu kekal berpegang kepada prinsip menentang kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa serta mempertahankan prinsip negara hukum.

Tambahnya, rakyat berhak mendapat keyakinan bahawa pelaksanaan hukuman tidak berbeza berdasarkan kedudukan, pengaruh atau latar belakang seseorang.

“Bersatu menegaskan bahawa khazanah negara bukan ladang jarahan. Mereka yang didapati bersalah oleh sistem kehakiman hendaklah dihukum mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Negara,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat bayaran denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here