Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

KUALA LUMPUR – Dakwaan pemandu teksi marah selepas dimaklumkan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia hanya diberikan selepas pilihan raya tidak benar, kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Tambah SPAD pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis untuk memastikan pihak yang menyebarkan berita dikenakan tindakan kerana menyebarkan berita palsu.

“Dakwaan tersebut adalah palsu kerana ribuan pemandu telah mengambil kad masing-masing selepas kad bantuan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 April di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS), malahan kesemua kad telah diaktifkan sebaik sahaja diambil pemandu,” kata SPAD menerusi kenyataan media hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, pemandu teksi tidak perlu risau kerana SPAD telah menyediakan 67,000 kad bantuan yang boleh diambil dalam tempoh tiga bulan bermula esok sehingga 16 Julai depan.

Pemandu teksi boleh mengambil kad bantuan berkenaan dari pejabat-pejabat cawangan SPAD, tertakluk kepada waktu pejabat dan hari-hari kelepasan am setempat.

Untuk Sabah dan Sarawak pula tarikh dan tempat pengambilan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kedua-dua negeri berkenaan.

“Semua kad bantuan akan diaktifkan setelah diambil oleh pemandu teksi dan mereka boleh membelanjakan nilai sehingga RM800 untuk pembelian petrol dan NGV di stesen-stesen Petronas di seluruh negara,” ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai Kad Bantuan Teksi 1Malaysia boleh dilayari di laman web www.spad.gov.my/ms/pengusaha-kenderaan/teksi/kad-bantuan-teksi-1malaysia. -MalaysiaGazette