Ahli Parlimen (Batu Kawan-DAP), Kasthuri Patto

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dari DAP yang pernah menang besar sehingga mencecah angka 25,962 pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) dikatakan disabotaj oleh partinya sendiri.

Kasthuri Patto  merupakan anak kepada mendiang, P.Patto seorang lagenda DAP terkenal pada zaman 90-an.

Beliau disukai oleh pengundi Batu terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina berikutan kebolehan dirinya bertutur dalam bahasa Cina.

Kasthuri juga lantang dalam mempersoalkan isu-isu berkaitan masyarakat India dan seringkali bertikam lidah dengan kepimpinan Barisan Nasional terutamanya MIC.

Berikutan popularitinya sama seperti bapa beliau, ada induvidu tertentu yang sudah memasang niat untuk bertanding kerusi Batu Kawan.

Maka bermacam-macam konspirasi dibuat bagi mengeluarkan Kasthuri dari Batu Kawan.

“Yang buat semua ini adalah ahli DAP yang juga mempunyai kuasa tertentu dalam parti dan negeri. Kasthuri lebih popular dari penyandang sebelum ini, Profesor P. Ramasamy namun Kasthuri mempunyai hubungan yang baik dengan beliau juga.

“Cuma selepas itu, ‘dua induvidu’ yang mempunyai pengaruh dalam parti dan juga mempunyai jawatan sebagai kaunselor cuba memburukan nama Kasthuri terutamanya dalam masyarakat India.

“Beliau sengaja di hantar ke Sri Lanka kemudian dituduh bersubahat dengan kerajaan Sri Lanka yang banyak melakukan kekejaman terhadap etnik India di negara itu, sekaligus menyebabkan masyarakat India di sini juga mengkritik beliau,” kata sumber DAP kepada MalaysiaGazette

Kasthuri juga tidak dibenarkan ‘bergaul’ dengan masyarakat India di Batu Kawan, malah tidak boleh melakukan apa-apa program untuk golongan itu kerana ada induvidu atau kumpulan menghalangnya.

Tambah sumber itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersama pemimpin lain di Pulau Pinang maklum tentang apa yang berlaku dengan Kasthuri sebelum namun tiada sebarang tindakan diambil.

Disebabkan ini, kemungkin besar Kasthuri akan bertanding di Perak pada pilihan raya kali ini.

“Mungkin juga beliau tidak akan diberikan kerusi. Saya tidak pasti bagaimana nasibnya tetapi beliau bukanlah seperti yang digambarkan. Semangat yang ada padanya serta kesetiaan beliau terhadap DAP sama seperti bapanya, Pattoo.

“Saya tidak pasti mengapa ada pemimpin dalam DAP yang semakin kemaruk kuasa sejak akhir-akhir ini. Tetapi rakyat nampak apa yang sedang berlaku,” tegasnya.

Semalam, seramai 9 ahli Jawatakuasa Kemajuan Kampung (JKK) kawasan Batu Kawan telah menghantar memorandum menolak Kasthuri sebagai calon kepada Guan Eng.

Surat itu menyebut Kasthuri telah gagal menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan, selain daripada tidak pernah ada di kawasan bagi memperjuangkan nasib masyarakat di situ.

Surat itu juga menyebut mahu calon lain bagi kerusi Parlimen itu tetapi tidak pula mencadangkan nama lain.

Tetapi Kasthuri mendakwa beberapa ahli JKK itu sebenarnya telah di paksa untuk menandatangani surat tersebut.

“Saya sentiasa membuka pusat khidmat setiap hari Khamis selepas sesi Parlimen. Tipu jika kata saya tiada di situ. Ada pihak ketiga yang sedang cuba sabotaj saya.

“Tidak apa, kita tunggu sahaja keputusan kepimpinan tertinggi dalam masa terdekat,” katanya kepada sebuah portal. – MalaysiaGazette