Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menyempurnakan gimik perasmian balai raya sambil diiringi Pengerusi BN Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing (kanan) pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) dan Perasmian Balai Raya Taman Sri Sungai Pelek di Taman Sri Sungai Pelek, Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2018.

SEPANG – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sepang serta tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, Sungai Pelek, Tanjung Sepat dan Dengkil sudah dimuktamadkan.

Demikian kata Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar sambil menyifatkan kerusi tradisi yang ditandingi parti-parti komponen di empat kerusi itu sebagai selamat kerana MCA kekal bertanding di DUN Sungai Pelek dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

“Siapa pun jadi calon tolong sokong, ramai layak bertanding, tapi kerusi hanya satu. Calon Parlimen Sepang, DUN Dengkil, DUN Tanjung Sepat dan DUN Sungai Pelek dah selesai tapi saya tak boleh umum siapa.

“MCA akan kekal di Sungai Pelek, kalau nak menang kena beri kerjasama di bawah bumbung BN. Mana boleh ambil kerusi MCA, nanti orang kata jadi kuda tunggangan,” katanya berucap pada Program Transformasi Sosial (PTS) dan Perasmian Balai Raya Taman Sri Sungai Pelek di sini malam tadi.

Hadir sama penyandang DUN Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif; Pengerusi BN Sepang merangkap Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing dan Pengerusi MCA Bahagian Sepang, Datuk Ng Chok Sin.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) dan Perasmian Balai Raya Taman Sri Sungai Pelek di Taman Sri Sungai Pelek, Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2018.

Noh juga berkata, masyarakat Cina dan India perlu sedar hanya BN sahaja yang memperjuangkan kebajikan dan prihatin kepada denyut nadi rakyat dan bukannya pakatan pembangkang.

“Parti yang betul-betul perjuangkan masyarakat orang Cina ialah MCA dan Gerakan, orang India pun sama, MIC perjuangkan masyarakat India.

“Sebab itu kerajaan perkenalkan Pelan Induk atau blueprint masyarakat India, zaman Tun Mahathir (Mohamad) mana ada. Zaman Datuk Seri Najib Razak saja yang ada.

“Kita beri pelan induk untuk bela masyarakat India, PKR mana ada bela, rumah estet pun dia runtuh, kuil pun dia bagi runtuh. Sebab itu yakini hanya BN yang lebih baik,” katanya.

Noh berkata lagi, parti komponen BN khususnya di Selangor perlu bersatu dan tidak memikirkan siapa calon dan parti masing-masing bertanding dalam PRU-14 nanti.

“Biarlah calon itu BN, undilah BN, jangan fikir siapa calon dan parti masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast