Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menyerahkan watikah perlantikan kepada calon parlimen Sepang, Datuk Marsum Paing (dua kanan) pada Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional Selangor di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2018.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menyerahkan watikah perlantikan kepada calon parlimen Sepang, Datuk Marsum Paing (dua kanan) pada Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional Selangor di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2018.

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) berkeyakinan tinggi untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dalam PRU-14 ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan senarai calon-calonnya yang mengetengahkan seramai 47 calon atau lebih 70 peratus muka baharu, ia diyakini berupaya merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan.

“Saya yakin minimum 30 kerusi kita boleh menang Insya-Allah. Mereka telah menunjukkan komitmen turun padang, menghambakan diri kepada rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh lima tahun.

“Ini kerana gerak kerja BN Selangor ini telah pun bermula sebaik saja kita kalah pada PRU13.

“Kali ini saya yakin dengan gabungan calon-calon ini dengan semangat perpaduan dalam kalangan BN insya-Allah pada 9 Mei ini kita dapat menawan semula Selangor.

“Dengan janji kita Better Selangor atau Yakinlah BN Lebih Baik untuk memajukan Selangor yang tersohor ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon BN Selangor di bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)  BN hanya memenangi 12 kerusi DUN manakala pada PRU-12 pula hanya meraih 20 kerusi DUN di Selangor.

Noh juga berkata, senarai calon BN Selangor kali ini turut melantik semula 10 calon yang digugurkan pada PRU-13 lalu dan ia tidak menghalang daripada terus berkhidmat kepada rakyat sejak lima tahun lalu.

“Mereka tidak merajuk, sebaliknya mereka teruskan kerja-kerja di mana banyak kawasan BN kalah tapi mereka dilantik sebagai koordinator dan juga penyelaras Parlimen dan telah menjalankan tugas mereka.

“Datuk Karim Mansor sebelum ini digugurkan di DUN Tanjung Sepat dan kini dilantik semula di DUN sama, Datuk Marsum Paing digugurkan di DUN Dengkil tapi kali ini dipilih bertanding di Parlimen Sepang dan Datuk Satim Diman juga dipilih semula,” katanya.

Ditanya tentang kemungkinan BN Selangor akan bekerjasama dengan Pas untuk membentuk Kerajaan Negeri Selangor selepas PRU-14, beliau bagaimanapun berkata, ia bergantung sejauh mana kerusi yang bakal dimenangi pihaknya.

“Saya rasa kalau kita boleh menang 30 kerusi boleh lah tubuh kerajaan, nak tubuh kerajaan negeri Selangor ini menang 29 kerusi boleh tubuh kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast