Wan Muhammad Azri menunjukkan borang pencalonan menjadi calon di Pejabat SPR Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sehari keputusan PKR meletakkan presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Rafizi Ramli, Papagomo menawarkan diri menentangnya di kerusi Parlimen Pandan.

Sehubungan itu, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris telah membeli borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di sini hari ini.

“Saya mempertimbangkan untuk bertanding (sebagai calon bebas) di Pandan kerana saya hendak ajar Wan Azizah dan keluarganya.

“Mereka ini terlalu besar kepala dan ingat dunia politik tanahair kita hanya untuk mereka sekeluarga sahaja,” ujarnya dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Papagomo, sistem demokrasi telah ‘diliwat’ untuk kepentingan mereka.

“Suka-suka hati mereka tukar kerusi sana sini untuk ayah, emak dan anak,” jelasnya lagi.

Menurut Papagomo, Wan Azizah menggunakan rakyat sebagai rubber stamp untuk cop mereka menjadi wakil rakyat dan dapat elaun serta pelbagai kemudahan.

“Selepas itu mereka tinggalkan rakyat. Datang pilihanraya lain mereka tukar kerusi lain pula,” katanya yang juga ahli UMNO di Bahagian Wangsa Maju.

Sebelum itu, seorang peguam juga telah menawarkan diri sebagai calon bebas di Parlimen Pandan, iaitu Azam Aziz.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast