Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad.
Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) konsisten dengan pendiriannya untuk menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya kali ini walaupun mahkamah memutuskan penggantungan parti itu tidak sah.

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun PPBM bukan lagi sebuah parti ‘tidak halal’ dalam Pakatan Harapan (PH) namun pihaknya tidak mahu menukar pendirian bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengundi.

“Tiada sekatan untuk PPBM pamerkan gambar, tiada lagi larangan pakai baju logo sendiri, semua itu telah dipersetujui sebagai sebahagaian dariapda tataetika pilihan raya tidak lagi terkena ke PPBM.

“Namun kita tidak akan tukar pendirian atau rancangan untuk guna hanya satu simbol iaitu simbul PKR. Ia akan digunakan oleh semua calon PH di peringkat Parlimen dan DUN.

“Dengan itu tiada kekeliruan. Kita hanya akan guna satu simbol untuk lebih 600 calon-calon PH yang bertanding di Parlimen dan Negeri,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Calon-Calon PH di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad (tengah) bersama kepimpinan tertingi Pakatan HARAPAN serta calon bersorak semangat selepas melafazkan ikrar pada Majlis Taklimat Calon-calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membubarkan sementara pendaftaran parti tersebut hingga permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan diputuskan.

Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan PPBM yang diwakili peguam Rosli Dahlan memulakan pro­siding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan RoS itu.

Hakim Azizah membuat keputusan pada masa sama turut menolak bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsol Bolhassan.

Awal bulan ini, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal mengemukakan maklumat dan juga dokumen yang diminta jabatan itu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast