Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas
Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas

KUALA LUMPUR – Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas mendakwa terdapat usaha ‘segelintir’ pihak untuk menyingkirkan beliau daripada terus menerajui kepimpinan parti tersebut sehingga berlakunya ‘pecat memecat’ pada hari ini.

Kayveas yang lebih mesra dengan panggilan ‘Uncle Bond’ berkata, menyedari komplot untuk menggulingkan dirinya, beliau secara sukarela meletak jawatan dan ia telah berkuatkuasa Isnin lalu.

“Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang tidak menahan diri daripada terus menyingkirkan saya sehingga membuat mesyuarat tergempar dan membuat tuduhan tidak berasas.

“Tetapi, ketika ini saya ingin mengunci mulut kerana mahu memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) berakhir. Saya janji akan membuat pendedahan melalui sidang media selepas itu. Saya mohon kepada semua bersabar terutamanya penyokong saya dari dalam parti.

“Saya ingin tekankan di sini, saya masih lagi penyokong setia kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN). Saya bukan tamak atau gila kuasa sehingga mahu meletak jawatan untuk bertanding secara bebas di Cameron Highlands.

“Saya sangat pasti ada juga ‘pihak’ mahu saya berbuat demikian tetapi setiakawan saya terhadap BN lebih tebal. Saya tidak akan berbuat apa-apa yang boleh membelakangkan parti kerajaan BN. Kepada yang begitu teruja untuk melihat ‘kejatuhan’ saya, sabarlah. Panjang lagi usia saya dalam politik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Kayveas, beliau tidak mahu memanjangkan persengketaan atau tuduh menuduh terutamanya ketika musim berkempen dan memberi peluang kepada pihak lawan mengambil peluang ketika berlakunya krisis.

“Saya masih lagi waras dan tahu permainan politik sesetengah pihak. Biarlah saya diam dulu, selesai nanti kita akan bercakap. Saya akan bela diri dan saya pasti penyokong setia saya kenal siapa diri saya.

“Ketika ini, biar kita tumpu perhatian pada kempen PRU dan memastikan kemenangan besar kepada BN kelak. Itu lebih penting,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy berkata, Kayveas dipecat daripada parti itu berkuatkuasa serta merta hari ini.

Mohan berkata, pemecatan itu yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) MyPPP selepas mendapati Kayveas mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti serta prinsip BN.

Kayveas beberapa jam sebelum itu mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Presiden MyPPP selepas memegang jawatan itu lebih dua dekad, berkuat kuasa Isnin, menerusi catatan pada laman Facebook dan Twitter beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau masih sokong umno juga tak cerdik lah. orang cerdik bolih berdikari tanpa bergantong kepada orang lain .

Comments are closed.