Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menyerahkan watikah perlantikan kepada calon parlimen Sepang, Datuk Marsum Paing (dua kanan) pada Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional Selangor di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2018.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menyerahkan watikah perlantikan kepada calon parlimen Sepang, Datuk Marsum Paing (dua kanan) pada Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional Selangor di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) masih mengharapkan tiga kerusi Parlimen di Selangor kekal menjadi kubu kuat UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai pencetus untuk merampas semula negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun BN di Selangor ditumbangkan oleh tsunami Cina sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, namun tiga Parlimennya iaitu Sepang, Tanjung Karang dan Sungai Besar masih mencatatkan kemenangan 100 peratus dengan majoriti besar.

Ketiga-tiga kerusi Parlimen ini dikatakan kubu kuat BN berdasarkan keupayaan waklilnya mengekalkan kemenangan di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar masih meletakkan harapan bahawa rekod prestasi di tiga-tiga kerusi Parlimen itu bakal berulang sekali lagi pada PRU14 dengan menamakan semula penyandang-penyandang kerusi itu dalam pilihan raya pada 9 Mei ini.

Antaranya penyandang DUN Dengkil, Datuk Marsum Paing dan DUN Tanjong Sepat, Datuk Dr Karim Mansor yang mana nama mereka digugurkan pada PRU13 dipertaruhkan semula pada PRU14, masing-masing di Parlimen Sepang dan DUN Tanjong Sepat.

Berdasarkan keputusan PRU12 lalu, Marsum yang bertanding di kerusi N55 DUN Dengkil memperoleh 11,838 menewaskan calon PKR, Ishammudin Ismail (8,471) dengan majoriti 8,306 undi.

Manakala DUN Tanjong Sepat yang ditandingi oleh Karim pula mendapat 8,297 undi berjaya menumbangkan calon Pas, Mohd Haslin Hassan (5,923) dengan majoriti 6,077 undi.

Selain itu, kerusi P095 Parlimen Tanjong Karang yang dipertahankan Noh selaku Pengerusi BN Selangor sejak lima penggal lalu termasuk dua DUN di kawasannya, iaitu DUN Sungai Burong dan Permatang masih dianggap kubu kuat BN meskipun ia merupakan luar bandar.

Pada PRU12, Noh yang bertanding di Parlimen Tanjong Karang itu memperoleh 16,073 undi berbanding pencabarnya, Mohamed Hanipa Maidin yang ketika itu mewakili Pas (12,253) dengan majoriti 9,008 undi.

Noh boleh berbangga apabila kawasannya berjaya mengekalkan 100 peratus kemenangan ketika tsunami Cina melanda Selangor menerusi wakilnya di DUN Sungai Burong, Datuk Mohd Samsudin Lias memperoleh 8,872 undi menewaskan pencabarnya daripada Pas, Abdul Ghani Samsuddin (6,162) dengan majoriti 4,520 undi.

Begitu juga wakilnya di DUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak turut mengekalkan 100 peratus kemenangan dengan memperoleh 6,975 undi mengalahkan calon PKR, Mazlan Hassan (6,367) dengan majoriti 4,285.

Begitu kerusi P092 Parlimen Sabak Bernam masih dianggap kubu kuat BN kerana wakilnya, Abdul Rahman Bakri mendapat 12,055 undi menumbangkan calon PKR, Dr. Badrul Amin Bahron (10,720) dengan majoriti 5,348 undi pada PRU12.

BN Selangor masih mempunyai peluang menambah kerusi melalui Parlimen Sungai Besar yang berpotensi dipertahankan pada PRU14 susulan prestasi penyandangnya, Budiman Mohd Zohdi memberangsangkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016.

Meskipun penyandang terdahulu, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon hanya memperoleh majoriti 399 undi dalam PRU13, namun Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos optimis kerusi P092 dan DUN Sungai Panjang mampu dipertahankan dengan pertambahan lebih 13,000 undi.

Satu lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Besar, iaitu N04 Sekinchan yang dimenangi wakil DAP, Ng Suee Lim sejak tiga penggal lalu berpotensi dirampas semula BN susulan kegagalan wakil rakyatnya gagal meyakinkan semula pengundinya kerana beberapa isu.

Antara pembangunan infrastruktur masih jauh ketinggalan berbanding Parlimen lain kerana wakil rakyatnya gagal mendapat tempat sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008, isu penahanan nelayan Sekinchan dan isu pengundi hantu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast