Hishamuddin Tun Hussein
Calon Barisan Nasional (BN) P.153 Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bersama calon BN N.31 Kahang, R.Vidyananthan (kanan) dan calon BN N.30 Paloh, Teoh Yap Kun (kiri) bergambar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal Kampung India Paloh, Kluang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 29 APRIL 2018.

KLUANG – Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi telah menunjukkan semangat ‘Bangsa Johor’ pada dirinya apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, Mohd. Puad telah menunjukkan kesetiaannya apabila mendengar titah Sultan Johor agar beliau tidak berbuat demikian.

“Saya rasa bersyukur Puad membuat keputusan yang waras dan bijaksana. Ini kerana kita di Johor meletakkan muafakat sebagai keutamaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Hishammuddin, Mohd. Puad telah menunjukkan satu sikap dimana beliau meletakkan semangat perjuangan melebihi kepentingan nafsu.

Tambahnya, keputusan Mohd. Puad itu juga mencerminkan bahawa Johor mempunyai pemimpin yang sememangnya berpendirian sejak dari dahulu lagi.

Terdahulu, Hishamuddin yang juga calon BN Parlimen Sembrong hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal bersama komuniti India di kampung India, Paloh di sini.

Semalam Mohd. Puad menerusi posting terbarunya di Facebook menjelaskan, keputusannya untuk tidak bertanding tiket bebas pada PRU-14 adalah selepas beliau mendapat nasihat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Katanya, sebagai rakyat Johor beliau patuh kepada titah sultan demi kepentingan bangsa Johor. – MalaysiaGazette

Mohd Puad tak bertanding selepas dinasihati Sultan Johor