Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hadir pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Kedah PRU-14 di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti, Kedah. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2018

ALOR SETAR – Kegagalan blok pembangkang menguruskan pendaftaran wakil semasa penamaan calon menunjukkan kelemahan mereka mengendalikan soal pentadbiran parti sendiri, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Menteri Besar Kedah berkata, kelemahan parti pembangkang membuktikan mereka tidak berkemampuan memerintah negara apabila soal calon sendiri pun tidak dapat dikendalikan dengan sempurna sehingga menyebabkan beberapa wakil mereka tidak layak bertanding.

“Parti-parti nak tawarkan diri cakap nak selamatkan negara tapi parti sendiri nak jadi calon pun tidak boleh buat persediaan yang teliti.

“Sebab itu mereka nak salahkan polis dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), contoh Tian Chua (calon Parlimen Batu) dia pun tahu tapi dia cuba juga nak daftar calon kerana tahu syarat penalti RM2,000 tak boleh jadi calon tapi masih buat juga sebab nak tunjuk sesuatu,” kata beliau semasa majlis jamuan teh bersama media di Sri Mentaloon hari ini.

Ahmad Bashah juga mempertikaikan wakil pembangkang yang ditolak pendaftaran mereka kerana status muflis dan ia sebenarnya menunjukkan walaupun mereka tidak layak bertanding tetapi masih mahu merebut jawatan.

“Calon muflis, mana boleh dia tak tahu… dia cuba juga tipu parti dia sampai pusat penamaan calon dan pusat pendaftaran calon tolak kerana dia muflis.

“Jadi ini menunjukkan mereka akan buat apa juga walaupun muflis tapi masih lagi nak daftar dan lain-lain kesilapan lain,” ujarnya.

Tujuh calon pembangkang ditolak pencalonannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa penamaan calon semalam atas beberapa faktor yang tidak melayakkan mereka bertanding. – MalaysiaGazette