Home Utama Penjawat awam individu paling bertuah

Penjawat awam individu paling bertuah

Azih Muda

Malah pada 2016 sahaja, SPA menerima 1.56 juta permohonan bagi mengisi 25,046 kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh sektor yang dianggap sebagai tulang belakang dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Imbuhan demi imbuhan terus diperkenalkan merangkumi kemudahan pelbagai jenis cuti, kenaikan gaji tahunan, kemudahan kesihatan, skim perumahan bagi penjawat awam dan bantuan pendidikan yang menjadikan penjawat awam kini antara individu paling bertuah.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata transformasi yang berlaku dalam perkhidmatan awam ketika ini disebabkan dasar tiga pihak yang diamalkan kerajaan yang membolehkan rundingan antara majikan, kerajaan dan pekerja berlangsung dalam suasana harmoni.

Azih berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini sentiasa bersedia mendengar hasrat majikan dan penjawat awam, seterusnya menimbang permintaan itu selaras dengan keperluan dan kemampuan kewangan negara.

“Memandangkan kestabilan ekonomi kita jauh lebih baik daripada dulu serta dasar-dasar negara yang konsisten membolehkan kerajaan melakukan penambahbaikan dalam sektor awam khususnya sejak lima tahun lalu.

“Penambahbaikan yang dilihat tahun demi tahun seperti kenaikan gaji yang kadangkala dua kali setahun, sistem persaraan dan kemudahan pelbagai cuti antara sebab yang menarik minat graduan pelbagai bangsa bersaing untuk mendapat tempat dalam sektor perkhidmatan awam,” katanya.

Jika diamati, gaya hidup penjawat awam kini juga berubah dengan pantas apabila mereka dilihat mampu membeli kenderaan dan memiliki kediaman sendiri hanya dalam tempoh tiga hingga lima tahun perkhidmatan, katanya.

“Kalau era 1970-an, banyak institusi kewangan kurang percaya kepada penjawat awam kerana gaji yang kecil jadi ramai antara mereka hanya mampu membeli kereta terpakai atau menunggu bertahun-tahun untuk membeli kereta baharu,” katanya.

“Kini walaupun gaji tidak banyak, ia cukup kompetitif untuk survival. Malah dengan kenaikan gaji setiap tahun dan sistem potongan teratur, pihak bank kini lebih percaya untuk memberi pinjaman sehinggakan penjawat awam diberi kelebihan tidak perlu membayar deposit atau mencari penjamin,” katanya.

Bagaimanapun Azih menganggap penjawat awam memegang amanah yang besar dan peluang keemasan yang diberikan untuk menjawat jawatan dalam sektor kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin bagi menabur bakti kepada rakyat dan negara.

Menyokong kenyataan Azih, seorang guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Muhammad Adam Yaacobe , 47, berkata kerjaya beliau dalam sektor kerajaan memberi kelebihan kepadanya untuk menguruskan pelbagai urusan dengan mudah termasuk pembelian rumah.

Katanya, proses membeli rumah di Setapak empat tahun lalu dengan membuat pinjaman melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam berjalan dengan lancar tanpa perlu membayar deposit serta diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Bagi Roslina Amit, 32, yang kini hamil sembilan bulan, keprihatinan kerajaan melaksanakan kebenaran pulang awal satu jam bagi penjawat awam yang hamil lima bulan atau 22 minggu ke atas, amat bermakna baginya.

Penolong akauntan di FELDA itu berkata, kebenaran pulang awal yang berkuat kuasa 1 Januari lalu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan penjawat awam wanita terus diberi keutamaan.

“Kelebihan yang diberikan kepada ibu hamil ini memang banyak membantu terutama saya yang sudah sarat. Apabila kandungan makin besar badan akan jadi penat dan bila dapat pulang lebih awal saya tidak perlu meredah kesesakan jalan raya dan sampai di rumah boleh berehat dengan tenang,” katanya.

Beliau yang hamil anak pertama itu turut mengakui kelonggaran yang diberikan kerajaan itu dapat meningkatkan semangat untuk memastikan penjawat awam wanita terus berkhidmat kepada masyarakat.

Sementara itu pembantu tadbir di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, Nor Aisah Daud, 30, berkata penyediaan pusat asuhan di tempat kerja yang disarankan oleh kerajaan memudahkannya untuk meninggalkan anak dalam jagaan sepanjang waktu bekerja.

Aisah berkata, kemudahan itu memberikan ketenangan kepada beliau untuk bekerja di samping mudah untuk melakukan pemantauan keselamatan dan mengurangkan risiko keselamatan anak yang ditinggalkan kepada pengasuh. – MalaysiaGazette