Datin Roziah Hashim dan suami, Datuk Dr. Azman Abdul Samat menunjukkan gambar kenangan bersama anaknya, Ameer Hakimi Azman, 20, iaitu penuntut Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan motosikal di Pekanbaru, Indonesia petang semalam

PULAU PINANG – Sukar digambarkan perasaan sedih seorang ibu yang menerima berita kematian anaknya pada hari istimewa iaitu ulang tahun kelahirannya.

Namun, itulah yang terpaksa ditempuh Datin Roziah Hashim selepas diberitahu mengenai kehilangan anaknya, Ameer Hakimi Azman, 20, yang merupakan penuntut jurusan Dakwah dan Kaunseling Islam, Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim PekanBaru, Riau, Indonesia, petang semalam.

Ameer Hakimi (gambar bawah) serta rakannya, Mohd. Shaiful Bukhari Ammat, 25, yang juga penuntut universiti sama terkorban selepas motosikal ditunggang mereka dikatakan merempuh sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di daerah itu kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ekoran kejadian itu, Ameer Hakim dan Mohd. Shaiful Bukhari yang berasal dari Sabah mengalami kecederaan dalaman dan dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Rumah Sakit Aulia, pukul 6.30 petang.

Sementara itu, Roziah berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa anak keduanya itu petang semalam ketika berada di Kota Kinabalu, Sabah kerana menghadiri kursus.

Katanya, meskipun reda dengan takdir Allah SWT, namun dia berasa sedih memandangkan anaknya itu seorang yang manja serta sangat rapat dengan semua ahli keluarga.

“Sebenarnya saya tidak begitu memikirkan tentang hari lahir saya, tetapi selepas menerima berita kematiannya, saya beranggapan ini adalah hadiah paling besar oleh Allah SWT kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Permatang Pasir di sini hari ini.

Menurut Roziah, anaknya itu itu sepatutnya pulang ke tanah air pada Disember lalu namun menangguhkannya kerana berhasrat memulakan perniagaan kecil-kecilan di Pekanbaru.

Katanya, Ameer Hakimi juga ada meminta sedikit wang untuk dijadikan modal perniagaan dan disebabkan hasratnya itu, suaminya, Datuk Dr. Azman Abdul Samat melawatnya di Pekanbaru minggu lalu.

Difahamkan, jenazah Ameer Hakimi sudah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Pasir di sini sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dijangka malam ini.- MalaysiaGazette