Idris Haron.
Idris Haron.

KUALA LUMPUR-  Melaka merekodkan pelaburan bernilai RM22.5 bilion dalam tempoh empat setengah tahun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, ini merupakan prestasi luar biasa berbanding pelaburan bernilai RM13 bilion yang dicatatkan dalam tempoh lima tahun sebelum itu.

Dasar mesra pelaburan yang mendorong kemasukan pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik meletakkan Melaka sebagai destinasi keempat teratas di negara ini berbanding tempat ke-11 sebelum ini, katanya hari ini.

“Tidak pernah dalam sejarah negeri berjaya mengumpulkan sejumlah besar pelaburan,” katanya hari ini.

Pelaburan terbesar tunggal dibuat oleh Edra Power membabitkan sejumlah RM4.5 bilion bagi membina loji kuasa turbin gas dengan kapasiti 1,500 megawatt, menggunakan 1,200 pekerja sepanjang tempoh pembinaannya.

“Tenaga yang dijana dapat dibekalkan ke negeri Johor, Negeri Sembilan serta Melaka,” katanya.

Selain itu, Idris berkata Micron Semiconductor Sdn Bhd melabur AS$500 juta dalam projek mikroelektronik wafer, manakala Infineon merupakan majikan terbesar di Melaka yang menggaji seramai 7,500 pekerja.

Menurut Infineon, Melaka merupakan pembekal terbesar pekerja mahir dalam industri semikonduktor.

Pengilang bahagian pesawat CTRM Aero Composites Sdn Bhd turut memilih Melaka bagi mengeluarkan bahagian pesawat untuk Boeing dan Airbus memandangkan negara ini mempunyai pengalaman paling luas dalam menghasilkan komposit.

Idris, seorang jurutera, berkata negeri itu juga merupakan perintis dalam projek alam sekitar lestari seperti yang dibuktikan oleh Program Bandar Teknologi Hijau Melaka.

“Kami negeri paling maju di negara ini, menjadi printis dalam inisiatif persekitaran teknologi hijau, selari matlamat Pembangunan Mampan Millennium,” katanya.

Perbadanan Negeri Melaka ialah agensi yang memantau semua pelaburan di negeri ini, dan pada masa yang sama membantu pelabur yang berminat untuk mendapatkan kepakaran tempatan dalam operasi mereka. – Bernama