Calon Barisan Nasional Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk rumah pangsa pantai peringgit pada Majlis Beramah Mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Rumah Pangsa Pantai Peringgit, Melaka. foto AQIRA AZEMI, 01 MEI 2018.

MELAKA – Ketika Ahli Parlimen (MP) pembangkang didakwa tidak pernah ‘nampak muka’ selama lima tahun, calon Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang ‘dipinggir’ pengundi sebelum ini, tidak jemu menjenguk dan menghulur bantuan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, masyarakat setempat yang bagaikan ‘serik’ dengan kehendak perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kini kembali berharap mantan Ketua Menteri itu menjadi wakil rakyat mereka.

Penduduk Rumah Pangsa Peringgit, G Vanajah berkata, kediaman mereka semakin teruk apabila tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat dari parti pembankang yang langsung tidak pernah menjenguk mereka, selama lima tahun ini.

G Vanajah. foto AQIRA AZEMI, 01 MEI 2018.

“Saya yakin PRU kali ini akan tukarkan rumah pangsa kami. Saya harap Tan Sri (Mohd Ali Rustam) menang supaya dia dapat tolong kami.

“Lima tahun, tiada siapa datang jenguk walaupun tiada air. Apa pun masalah kami, hanya Tan Sri (Ali Rustam) yang ambil berat,” kata pekerja swasta itu.

Pekerja swasta, K Santharan, 47, berkata, kebanyakan masyarakat tempatan tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen Bukit Katil yang kini dikenali sebagai Hang Tuah Jaya tidak berbuat apa-apa selama lima tahun lalu.

“Sekalipun tak turun padang untuk tolong rakyat

“Sebelum ni, Tan Sri (Mohd Ali) sebagai ADUN Bukit Baru (kini Bukit Katil) dan MP Bukit Katil selalu turun padang.

“Sebulan, dua atau tiga kali, (Mohd Ali) akan datang dan tanya masalah. Bila beritahu masalah, dia akan selesaikan serta-merta.

“PRU kali ini, Tan Sri (Mohd Ali) kena menang sebab kita akan dapat kesenangan,” katanya yang berharap wakil rakyat baru dapat mengatasi masalah kebersihan dan penagihan dadah di situ.

Pekerja Swasta, K Santharan, 47, bercakap kepada media ketika ditemubual di Rumah Pangsa Pantai Peringgit, Melaka. foto AQIRA AZEMI, 01 MEI 2018

Pesara, 67, berkata, ketika pemimpin pembangkang tidak berbuat apa-apa selama lima tahun lalu, adalah wajar untuk pengundi memberi peluang kepada mantan Ketua Menteri itu meneruskan perancangan sebelum ini.

“Kemajuan di kawasan ini sebenarnya sudah diibuat Tan Sri Ali Rustam sewaktu jadi Ketua Menteri Melaka. Banyak perubahan dibuat khususnya di DUN (Dewan Undangan Negeri) Bukit Katil yang dulunya DUN Bukit Baru.

“Maka, pengundi perlu bagi peluang kepada beliau meneruskan apa yang dibuat dulu supaya pembangunan itu lancar, sempurna bagi kepentingan masyarakat di Bukit Katil ini khususnya dan di Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Saya lihat perkara ini yang harus dilnilai semula pengundi di sini supaya BN akan terus memerintah dan menjaga kawasan ini dengan lebih baik lagi demi kepentingan masyarakat dan penduduk di sini,” katanya.

Pemerhati pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ainul Hayati Mohamad, 47, berkata, masyarakat perlu melakukan transformasi terutama minda dan diri sendiri.

“Selagi kita mencari anasir luar yang boleh menjejaskan negara, bukan negeri tau. Itu bukan transformasi.

“Inilah masanya masyarakat membalas jasa beliau (Mohd Ali). Kita tengok perjuangan beliau. Kita positifkan. Ambil yang positif.

“Saya tidak melihat kepada manifesto tetapi perjuangan beliau (Mohd Ali) yang tidak pernah luntur,” katanya yang meminta pengundi memberi peluang dan sokongan kepada perjuangan Mohd Ali untuk rakyat selama ini. – MalaysiaGazette