Mustapa berpuas hati dengan kempen calon BN Kelantan dan setakat ini tidak berlaku kekacauan.
Mustapa berpuas hati dengan kempen calon BN Kelantan dan setakat ini tidak berlaku kekacauan.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) di Kelantan lebih konsisten membantu rakyat negeri itu berbanding pakatan pembangkang yang hanya pandai bercakap dan berjanji.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejarah membuktikan kerajaan BN mempunyai wakil rakyat yang bermukim tetap di kawasan masing-masing, bukan calon bermusim seperti pembangkang yang hanya muncul ketika berlaku pilihan raya.

“Dalam kempen PRU, kita perlu dekati pelbagai golongan dan saya bersyukur kerana dapat berdamping dengan masyarakat terutamanya di Parlimen Jeli.

“Kita sentiasa turun padang melihat perkembangan penduduk dan tidak hanya ketika PRU yang semakin dekat.

“Cara yang dilakukan ini membezakan kita dengan pakatan pembangkang, dan ia bukan kali pertama dilakukan oleh calon BN,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, cara parti yang bertanding berkempen di Kelantan masih terkawal dan tertib.

Katanya, setiap penyokong parti berkempen dengan berhemah dan masih mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kelantan, secara umumnya kita belum dengar lagi penyokong bergaduh atau melanggar peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya harap penyokong parti kekal profesional dan suasana ini berterusan sehingga 9 Mei nanti,” katanya.

Pada Isnin, seorang penyokong BN cedera jatuh ditolak oleh penyokong pembangkang dari atas pentas ceramah akibat salah faham di Dataran Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada mangsa yang dikatakan mencabut bendera parti pembangkang berhampiran pentas ketika calon Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedang berucap. – MalaysiaGazette