Walaupun perlu melalui 'laluan berduri' untuk mencipta kejayaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tetapi beberapa calon MCA dan Gerakan dilihat mampu melaksanakan misi 'pecah telur' dan menamatkan monopoli pembangkang di kawasan Cina.
Walaupun perlu melalui 'laluan berduri' untuk mencipta kejayaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tetapi beberapa calon MCA dan Gerakan dilihat mampu melaksanakan misi 'pecah telur' dan menamatkan monopoli pembangkang di kawasan Cina.

PULAU PINANG –  Walaupun perlu melalui ‘laluan berduri’ untuk mencipta kejayaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tetapi beberapa calon MCA dan Gerakan dilihat mampu melaksanakan misi ‘pecah telur’ dan menamatkan monopoli pembangkang di kawasan Cina.

Di Pulau Pinang, Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk dan Pengerusi BN Negeri, Teng Chang Yeow yang bertanding di DUN Tanjung Bungah diberi peranan penting.

Teik Cheng memberitahu Sinchew Daily bahawa harapan Barisan Nasional (BN) negeri ialah MCA dan Gerakan tidak pulang dengan tangan kosong dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Walaupun tidak mendedahkan kerusi yang membawa harapan, Teik Cheng bagaimanapun membayangkan Chang Yeow paling berpeluang merai kejayaan walaupun mengakui ia laluan yang sukar.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana Tanjung Bungah merupakan kawasan yang menerima kerosakan alam sekitar secara serius dan penduduk di situ rata-ratanya berpendidikan dan akan membuat penilaian secara objektif.

“Saya percaya penduduk di Tanjung Bungah akan melakukan perubahan besar pada kali ini,” katanya.

Di Wangsa Maju di Kuala Lumpur pula, Datuk Yew Tiong Look yang sudah tidak asing buat penduduk tempatan juga berharap dapat menyempurnakan misi ‘pecah telur’ buat MCA di Wilayah Persekutuan.

Tiong Look kalah dengan majoriti tipis sebanyak 150 undi pada 2008 dan tidak diberi peluang bertanding pada 2013 apabila kerusi itu ‘dipinjamkan’ MCA kepada UMNO.

“Walaupun saya hanya pernah menang satu penggal di Wangsa Maju, tetapi saya tidak pernah menutup pusat perkhidmatan di sini,” katanya yang akan berdepan Datin Paduka Tan Yee Kew, yang memulakan kerjaya politik di MCA sebelum bertukar ke PKR.

Di Sarawak yang menyaksikan kubu SUPP di kawasan Cina ditembusi satu persatu oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2013, BN meletakkan Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian untuk menawan kerusi Parlimen Stampin.

Kui Hian mengakui misinya di Stampin sukar sambil menyatakan bukan semua bumiputera di Stampin cenderung untuk mengundi BN, malahan ia pernah mengalami kekalahan di kawasan bumiputera.

Katanya, BN justeru perlu mendapatkan sokongan orang Cina yang merupakan 65 peratus daripada pengundi Stampin.

Kui Hian akan berdepan Chong Chieng Jen, Pengerusi DAP Sarawak, yang merupakan calon dan Ahli Parlimen yang tidak asing di Kuching.

Chieng Jen telah berpindah dari Kuching ke Stampin yang terletak bersebelahan semata-mata untuk menghadapi Kui Hian. Keadaan itu sekali gus melonjakkan Stampin sebagai kerusi Parlimen Sarawak yang paling mencuri tumpuan. – MalaysiaGazette