SUNGKAI, 2 Mei -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Bidor di Dewan Thai Seong Low Kuan, Bidor hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh yang diterima seorang pembantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sembilan pada penamaan calon, 28 April lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh dikompromi lebih-lebih lagi ugutan itu membabitkan petugas SPR yang bertanggungjawab melaksanakan sistem demokrasi.

“Saya telah menyatakan kita tidak boleh berkompromi jika erti menterjemah demokrasi ini dilakukan dengan cara kekasaran apatah lagi ugutan bunuh (terhadap) pegawai SPR kerana mereka adalah pegawai awam.

“Mereka (pegawai SPR) hendaklah diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan tugas mengikut Akta SPR dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sungai Sumun dekat Hutan Melintang di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan akhbar semalam berhubung ugutan bunuh ke atas seorang petugas SPR berusia 36 tahun dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, Selasa lalu.

Ahmad Zahid berkata polis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Saya meminta kepimpinan parti di semua peringkat sama ada parti kerajaan mahu pun pembangkang untuk memberitahu jentera dan ahli mereka atau pihak yang membantu untuk kempen parti supaya mematuhi peraturan mengikut Akta SPR,” katanya.- BERNAMA