Exco Pemuda UMNO, Dazma Daud bersama sebahagian NGO bercakap kepada media mengenai ucapan ceramah parti Pakatan Harapan (PH) pada malam 2 mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2018

PETALING JAYA – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi kata dua kepada Pakatan Harapan (PH) sama ada memohon maaf atau 100,000 bekas dan veteran tentera memboikot mereka pada PRU-14 ini.

Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, nama baik pasukan keselamatan sudah tercemar angkara calonnya menyamakan tentera dengan ’40 penyamun’.

“Kita minta calon PKR ini mohon maaf terbuka, saya bagi pihak lebih 100,000 bekas tentera dan veteran minta calon ini mohon maaf secara terbuka.

“Kalau tidak kita gesa semua bekas tentera jangan undi PH, jangan pergi ceramah-ceramah atau kempen calon pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dazma Daud membuat laporan polis terhadap PH dan calon PKR DUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan fitnah ke atas anggota keselamatan.

Kenyataan itu berdasarkan kepada rakaman video berdurasi 24 saat ceramah PH di Taman Medan Rabu memaparkan calon PKR itu membandingkan anggota keselamatan sebagai 40 penyamun seperti dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Syamsul Firdaus dalam rakaman video berkenaan mendakwa ada persamaan antara 40 penyamun itu dengan anggota keselamatan, merangkumi polis, tentera dan hakim.

Razali juga berkata, tindakan melabelkan pasukan keselamatan dengan gelaran itu tidak sepatutnya keluar daripada calon wakil rakyat dalam kempen meraih undi rakyat dalam PRU-14.

“Pembangkang memang tidak menghormati bekas-bekas tentera, tidak menghormati rakyat dan tidak hormat etika jadi calon dan berkempen dalam ceramah.

“Kita tak nak cara menghina dan kurang ajar ini digunakan dalam kempen pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kebajikan Sahabat 565, Mohd. Ismawi Ismail selaku bekas anggota tentera yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 18 tahun pula berkata, tindakan itu cuba merendahkan martabat pejuang negara.

“Saya tidak setuju cara dia mendapatkan atau meraih undi simpati atau apa-apa saja untuk kempen parti dia. Sebagai pesara tentera, saya cukup tidak berpuas hati dan terasa beliau cuba merendahkan martabat pejuang negara.

“Saya tak kisah dia nak cakap apa-apa pun untuk meraih undi, tapi tindakan itu seolah-olah dia tiada rasa hormat yang selama ini keharmonian negara kita yang dijaga oleh pasukan keselamatan dan agensi kerajaan lain

“Jangan libatkan (pasukan keselamatan) dalam kancah politik untuk meraih undi,” tegasnya.

Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Medan, Harun Ismail, pula melahirkan rasa kecewanya kerana pasukan keselamatan sekali lagi dijadikan bahan politik demi kepentingan pembangkang.

“Saya cukup kecewa, ini bukan pertama kali isu polis dan tentera ini jadi mainan bagi mereka yang ada kepentingan.

“Ini satu penghinaan yang kita tak boleh terima, masyarakat tak boleh terima. Saya hairan mereka guna politik sempit, saya rasa mereka terpaksa, mereka tak cukup bijak,” katanya.

Katanya, pemimpin politik dan calon wakil rakyat sepatutnya memberi mengenang jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan negara selama ini.

“Kalau keadaan macam ini saya rasa tolak mereka ini semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast