Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) dijulang oleh Pengerusi MIC Titiwangsa, R. T. Sundaram (empat kanan) serta yang lain pada Majlis Sambutan Tahun Baru Tamil di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 MEI 2018
Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) dijulang oleh Pengerusi MIC Titiwangsa, R. T. Sundaram (empat kanan) serta yang lain pada Majlis Sambutan Tahun Baru Tamil di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 MEI 2018

KUALA LUMPUR- Beban yang ditanggung oleh kerajaan sekarang seperti kutipan tol dan penjana kuasa bebas (IPP) adalah kesan buruk semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh kedua-dua tokoh berkenaan semasa mentadbir negara sehingga menyebabkan kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat sehingga kini.

“Sebenarnya waktu Tun Daim jadi Menteri Kewangan dulu pun banyak juga benda tidak betul dia buat.

“Sekarang kerajaan BN yang terpaksa tanggung tetapi dia boleh cakap apa yang dia hendak cakap kerana ini negara demokrasi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini malam tadi.

Johari mengulas kenyataan Daim yang mengatakan BN akan kalah pada PRU-14 ini disebabkan isu-isu seperti 1Malaysia Development Bhd., Felda dan Tabung Haji.

Menurut Johari, tiada halangan untuk bekas-bekas pemimpin negara itu untuk bertukar kem kerana keputusan mutlak ada di tangan pengundi.

“Kita serahkan kepada pengundi pada 9 Mei ini dan walau apa pun keputusan rakyat, mereka kena terima,” katanya lagi.

Semasa zaman pemerintahan Mahathir dan rakan-rakannya, beliau telah menandatangani perjanjian tol yang berat sebelah sehingga menyebabkan kebanyakan syarikat konsesi lebuh raya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjadualkan kenaikan kadar tol sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun dan sekiranya tidak dinaikkan, kerajaan terpaksa membayar pampasan yang besar.

Selepas diambil alih oleh sayap pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2010, tiada kenaikan tol secara drastik diumumkan.

Menurut Laporan Khazanah Nasional 2016: Menswastakan PLUS- Memulangkan Keuntungan kepada rakyat, Pengarah Eksekutif Pelaburan Khazanah, Datuk Noorazman Abdul Aziz berkata, tol PLUS distrukturkan bagi membantu meringankan beban rakyat dan dalam masa yang sama menjadikannya aset strategik utama negara dengan meletakkan elemen pegangan kerajaan di dalamnya.

PLUS juga katanya perlu distruktur semula bagi memastikan penjajaran semula di antara kepentingan pemegang saham syarikat dan rakyat.- MalaysiaGazette