LANGKAWI – Sikap ahli UMNO terutama bekas menteri kanan yang ‘tikam belakang’ dalam parti bagaikan barah tahap tertinggi yang harus dicantas.
Itu perumpamaan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharum merujuk kepada pemecatan dua veteran UMNO iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin.
Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, bukan setakat bekas menteri tetapi sesiapa sahaja yang melanggar etika sebagai ahli UMNO perlu dipecat.
“Pecat itu memang tepatlah. Kalau saya, awal-awal lagi saya sudah buang. Itu (pemecatan ahli) secara automatik.
“Jika awak sokong parti lain, memang otomatik. Ini bukan zaman sekarang. Dulu pun sama….(Tun) Dr. Mahathir (Mohamad) pun sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan santai bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid di Pengkalan Tanjung Rhu dekat sini petang tadi.
Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilapor mengesahkan keputusan lembaga disiplin parti yang menggugurkan keahlian Daim dan Rafidah kerana bersekongkol dengan pembangkang.
Bagi seorang lagi bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim pula, ia masih dalam siasatan.
Dalam ada itu, Johari juga menyifatkan bekas menteri itu tidak berterima kasih kepada UMNO apabila mendapat ‘nikmat’ sebelum ini.
Beliau berkata, sebagai bekas menteri dan timbalan menteri, ketiga-tiga mereka juga tidak pernah memberi balik sumbangan kepada pimpinan yang ada sekarang.
“Kalau mereka ada masalah, kenapa tidak berjumpa Datuk (Seri) Najib (Razak).
Jadi, jangan salah PM (Perdana Menteri). Mereka ini yang pernah mendapat nikmat sebagai bekas menteri, sepatutnya datang. Masa mereka menjadi menteri, kita sokong mereka,” katanya.
Selain itu, mengulas tindakan Tan Sri Mokhzani Mahathir yang memperlekehkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), beliau berkata, anak Mahathir itu dilahirkan dalam keadaan serba mewah kerana ayahnya Perdana Menteri ketika itu.
“Memanglah orang macam dia tak tahu apa itu BR1M. Dia tak tahu susah senang macam kita hari. Kita tahu susah senang kerana kita merasai kesusahan. Kita adalah orang biasa.
“Bapa dia Perdana Menteri. Kalau kita tengok pengaruh bapa dia pun, dia dapat kontrak berbilion ringgit,” katanya.
Johari berkata, kerajaan di bawah pimpinan Najib, kerajaan berhasrat membantu golongan miskin dan kerana itulah kerajaan menstruktur semula agihan subsidi supaya dapat diberikan kepada golongan sasar.
“Perdana Menteri faham sangat bahawasanya dulu sistem yang dibuat Mahathir ada banyak kepincangan daripada segi membayar subsidi dan sebagainya.
“Sekarang kita struktur semula subsidi itu dan memberi kepada mereka yang memerlukan,” katanya.- MalaysiaGazette