Jurucakap Gagasan Sejahtera, Kamarulzaman Mohamad bercakap pada sidang media perkembangan terkini Gagasan Sejahtera di Pusat Media, Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Jurucakap Gagasan Sejahtera, Kamarulzaman Mohamad berkata, Pas menerima mohon maaf Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu ‘mati katak’ kepada mangsa Tragedi Memali.

Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuat kenyataan sebegitu kerana ia jelas menimbulkan kemarahan waris dan kaum keluarga mangsa tragedi hitam negara itu.

“Pas memandang berat isu Memali yang telah dibangkitkan oleh Mahathir dan Pas menerima permohonan maaf beliau yang menyifatkan kematian mereka (waris) sebagai ‘mati katak’,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Semalam, bekas perdana menteri itu memohon maaf secara terbuka kepada mangsa tragedi Memali atas keterlanjuran katanya yang menyifatkan kematian penduduk di situ sebagai mati sia-sia.

Dalam video yang dimuatkan di Facebook rasminya baru-baru ini, Mahathir berkata, keterlanjuran itu berpunca daripada rasa marahnya atas tuduhan yang dilemparkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap beliau.

Ditanya mengenai tuduhan Mahathir terhadap Amanat Hadi Awang pada ketika itu yang menyebabkan berlakunya insiden itu, Kamarulzaman berkata, tuduhan itu tidak benar kerana ia berlaku disebabkan oleh tindakan agresif pihak berkuasa ketika itu.

“Tapi Pas dengan tegas menyebut kami tidak pernah menjadikan punca kepada Tragedi Memali bahkan ia terjadinya tragedi berlaku disebabkan oleh tindakan agresif pihak keselamatan terhadap orang kampung yang tidak bersenjata,” katanya.

Insiden Memali berlaku pada 19 November 1985 dengan melibatkan sebanyak 14 mangsa terkorban. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast