Johari
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menghadiri Jamuan Makan Tengahari Bakti dan Sayangi Ibu Bapa. foto AFFAN FAUZI, 06 MEI 2018.

KUALA LUMPUR- Tindakan Barisan Nasional mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menunjukkan ia sebuah parti yang sangat mementingkan pendidikan dan mahu memberi peluang pendidikan terbaik kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan memang memberi perhatian penuh kepada pendidikan kebangsaan namun tidak pernah melarang pendidikan jenis lain untuk menjadi sebahagian daripada sistem di negara ini.

Ini kerana kerajaan katanya, amat memahami bahawa pendidikan sangat penting di dalam pembangunan ekonomi negara dan perlu memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna.

Malah pada Bajet 2018, Johari berkata, kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukkan RM60 bilion untuk sektor pendidikan.

“Jika kita pergi ke luar negara, apabila hendak memasuki universiti di sana mereka mengiktiraf semua kelulusan daripada pelbagai negara yang berbeza. Jadi kenapa kita tidak boleh?

“Jika mereka (golongan yang mengambil UEC) boleh cemerlang dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, mengapa kita hendak halang?

“Dulu pun kita sudah biasa apabila ada sesetengah orang mahu menumpukan pendidikan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, jurusan agama dan sebagainya. Itu adalah pilihan mereka.

“Asalkan ia membawa kebaikan, kerajaan akan sokong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Buat pertama kalinya, kerajaan BN mengiktiraf UEC dan menjadikannya sebagai salah satu manifesto pilihanraya umum ke-14.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan manifesto PRU14 BN pada 7 April lalu mengumumkan semua pemegang UEC boleh memasuki universiti awam dengan syarat mereka memperolehi kredit di dalam Bahasa Malaysia dan lulus dalam subjek Sejarah semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Syarat yang sama dikenakan kepada semua rakyat Malaysia yang menduduki peperiksaan luar negara setaraf SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Sebelum ini Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) sering mendesak kerajaan supaya mengiktiraf UEC. – MalaysiaGazette