Calon BN Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan sedang bermesra dengan para penduduk di Taman Teratai, Sg Choh Hulu Selangor ketika program 'walkabout' sebentar tadi.

HULU SELANGOR – Kejayaan besar dan kemenangan seolah-olah sudah dalam genggaman Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor apabila sambutan ‘luar biasa’ masyarakat di kawasan itu yang mengiktiraf jasa serta sumbangan kerajaan selama ini.

Walaupun Parlimen Hulu Selangor dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu di bawah tampuk pemerintahan kerajaan PKR namun sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan secara terbuka oleh pengundi di sini kali ini sudah menampakkan kemenangan kepada BN.

 

Keyakinan masyarakat majmuk Hulu Selangor terhadap BN sejak dua pilihan raya lalu sebenarnya telah berjaya mengubah kawasan itu sebagai sebuah bandar pesat membangun berbanding sebelum ini yang masih jauh ketinggalan di bawah pemerintahan pembangkang.

Hulu Selangor satu ketika dulu dilihat sebagai kawasan luar bandar terpinggir dan kurang membangun kini kehebatannya sebagai daerah terbesar di Selangor itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab automotif utama sekali gus meran­cakkan lagi pembangunan ekonomi rakyat di sekitarnya.

Antara pembangunan yang jelas nyata termasuk persimpangan bertingkat Sungai Buaya membabitkan kos RM120 juta, jalan pintas Rawang – Serendah sebanyak RM628 juta, projek perumahan Taman Danau Kampung Hassan sebanyak RM42 juta, pembinaan Masjid Nur Hidayah Felda Sungai Tenggi sebanyak RM5.4 juta.

Selain itu, Dewan Semai Bakti Felda Soeharta sebanyak RM1.2 juta, pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kalumpang RM3.2 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebanyak RM3 juta.

Ini hanya sedikit daripada pembangunan pesat sejak tahun 2013 sehingga kini malah pelbagai rancangan dalam perancangan untuk merealisasikan hasrat jangka masa panjang itu di Hulu Selangor, kata calon BN parlimen itu, Datuk N. Kamalanathan.

Menurut Kamalanathan ketika program walkabout pagi sehingga tengahari tadi sekitar Taman Bukit Teratai, Sungai Choh yang di diami hampir 2,800 pengundi India, sokongan yang diterima semakin meningkat.

“Sebenarnya saya tidak akan berbohong mengatakan semuanya cukup bagus sebaliknya sudah pasti ada satu dua aduan serta rasa tidak puas hati akan ada, kita bukan cukup sempurna tetapi saya nampak perbezaan cukup besar kali ini berbanding beberapa tahun lepas.

“Sokongan yang ditunjukkan oleh mereka sebenarnya lebih terbuka dan mereka juga menerima kehadiran kita dengan penuh keyakinan bahawa kita mampu membela nasib serta memperjuangkan kebajikan serta masa depan mereka.

“Saya sendiri rasa gembira dan lega, sekurang-kurangnya pengorbanan serta sumbangan yang di taburkan oleh kita selama ini di iktiraf, mereka tahu kita tidak bercakap kosong dan berjanji bulan dan bintang sebaliknya merealisasikan impian itu.

“Kemenangan kita adalah hampir pasti di bumi Hulu Selangor ini. Itu bukan sahaja kata-kata sebaliknya dalam beberapa hari lagi kita akan nampak kebenarannya juga, rakyat akan mengundi dan menyatakan kebenaran itu,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Kamalanathan sebagai wakil rakyat Hulu Sela­ngor sejak lapan tahun lepas, dirinya telah bertindak menjadi perantara untuk memastikan segala urusan projek yang dirancang khusus untuk penduduk kawasan itu dilaksanakan dengan sempurna.

“Kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi dan masyarakat ini sebenarnya adalah tanggungjawab kepada saya untuk terus berkhidmat dengan telus dan betul.

“Perancangan BN mampu me­nunaikan harapan rakyat bagi membawa perubahan di Hulu Se­langor dan itu adalah janji kita selama-lamanya.

“Saya secara peribadi berjanji akan bekerja keras lagi bagi memastikan kerusi Parlimen Hulu Selangor dapat dipertahankan,” jelasnya.

Pada PRU-13, Kamalanathan ber­jaya mempertahankan kerusi Hulu Selangor mengalahkan calon PKR, Khalid Jaafar dengan majoriti 3,414 undi.- MalaysiaGazette