Datuk Masrum Paing
Calon Barisan Nasional (BN) P.113 Sepang, Datuk Masrum Paing bercakap kepada media pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sepang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

SEPANG – Jentera Jalinan Rakyat (JR) Plus Barisan Nasional (BN) Sepang diingatkan supaya tidak lupa tiga perkara pada sebelum hari terakhir kempen.

Pengerusi BN Sepang, Datuk Marsum Paing berkata, ketiga-tiga perkara itu penting dilakukan setiap jentera JR Plus terutama kerana banyak pihak memberikan bermacam-macam ‘hadiah’ untuk mengubah hati pengundi.

“Saya mengarahkan tiga malam terakhir ini untuk mengkaji semula sebab persaingan kita semakin hebat dan mereka juga membuat bermacam-macam hantaran, pemberian dan apa sahaja.

“Semua pihak melakukan perkara sama dan ini boleh mengubah hati pengundi. Sebab itu saya pesan kepada semua jentera JR Plus supaya tiga perkara ada di dalam beg mereka.

“Tiga yang perlu ada ialah telefon, daftar nama pengundi yang dan manifesto parti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sepang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) petang tadi.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama Calon Barisan Nasional (BN) P.113 Sepang, Datuk Masrum Paing (tiga kanan) dan penyokong pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sepang sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; calon DUN Tanjong Sepat, Datuk Dr. Karim Mansor, calon DUN Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif
dan calon DUN Sungai Pelek, Datuk Ng Chok Sin.

Marsum selaku Ketua UMNO Bahagian Sepang juga mengingatkan jentera BN agar tidak meninggalkan telefon agar mudah dihubungi apabila kerja hingga lewat malam.

Katanya lagi, setiap JR dibekalkan 36 nama pengundi yang perlu dijaga sepanjang tempoh kempen bagi memastikan mereka khususnya kerusi putih kekal menyokong BN.

“Kalau ada mana-mana ceramah, atau lawatan daripada pihak lawan, jadi kita kena lihat, adakah kecenderungan pengundi masih kekal dengan kita atau pun tidak?

“Maknanya siang dia kena pergi, selepas ceramah kita kena kumpul balik sebelah malam,” katanya.

Tambahnya, meskipun pelbagai hadiah ditawarkan pihak lawan namun tawaran dalam manifesto BN sama ada di peringkat Selangor mahu pun nasional perlu dijelaskan sepanjang masa kepada pengundi.

“Kita juga ada pemberian hadiah iaitu manifesto, ia sangat penting di dalam manifesto itu ada 100 inisiatif dari BN Selangor manakala manifesto BN nasional pula ada banyak inisiatif memberikan jaminan masa depan.

“Saya sudah pesan supaya saat-saat terakhir ini kita mesti faham kerana kita nak menang kes dan kita juga ada pemberian yang lebih baik daripada manifesto kita ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast