Tan Sri Kenneth Eswaran

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamed sebenarnya merupakan seorang pemimpin yang terdesak dan gila kuasa kerana mahu terus memimpin negara ini.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri K. Kenneth Eswaran berkata, ia jelas dilihat sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi penggantinya lagi.

Jelas Kenneth, walaupun pada awalnya,  Mahathir ‘merestui’  Abdullah namun apabila beliau tidak lagi mendengar nasihat atau pandangannya, Mahathir kecewa dan marah.

“Selepas Abdullah melepaskan jawatan, Datuk Seri Najib Tun Razak pula pegang tampuk kuasa untuk memerintah negara, pada asalnya Mahathir gembira tetapi kemudian mula merasakan dirinya tidak lagi berkuasa kerana Perdana Menteri kini mempunyai caranya sendiri.

“Hakikat sebenarnya, Mahathir hanya mahu seorang ‘boneka’ yang boleh mendengar kata-katanya walaupun pada nama, Perdana Menteri adalah Najib namun realitinya Mahathir mahu berkuasa. Apabila impian ini tidak tercapai, maka beliau marah.

“Marah itu kerana gila kuasa. Kini beliau sanggup pula berpelukan dan terkinja-kinja dengan pembangkang yang satu ketikanya di benci antara satu sama lain kerana mahu tumbangkan Najib,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Kenneth, kepimpinan pada era Mahathir bukan sahaja telah ‘menghancurkan’ negara dengan memberi kekayaan berbilion ringgit kepada keluarga dan kroni malah polisi dan dasar kerajaan juga sebenarnya menyebabkan rakyat merasa beban.

“Mengapa pula Najib dipersalahkan? Bukankah semua yang Mahathir bersama konco-konconnya seperti (Tun) Daim Zainuddin dan (Tan Sri) Rafidah Aziz selain (Datuk Seri) Mokhzhani sebenarnya menikmati segala macam kemewahan hasil sumber negara tetapi kini bercakap seolah-olah mereka sesuci-suci manusia,” katanya.

Menurut beliau, kumpulan orang lama itu sebenarnya yang telah ‘merompak’ hasil negara tetapi kini berceramah depan rakyat seolah-olah mereka adalah mangsa dan rakyat perlu mengubah kerajaan.

“Selepas ambil semua, kini bercakap seolah-olah mahu berkhidmat demi rakyat? Sampai bila mahu memperbodohkan rakyat seperti ini?

“Jangan fikir rakyat tidak boleh membuat keputusan wajar. Pembangkang hanya menggunakan mereka ini untuk menang besar terutamanya DAP,” ujarnya lagi.

Kenneth berkata, beliau sebenarnya sedia disaman atas kenyataannya dan bersedia membuktikan dakwaannya.

“Bukan saya sahaja malah ramai lagi di luar sana tahu apa yang berlaku ketika era 22 tahun Mahathir (perintah) dan siapa yang bermanfaat ketika itu? Cukuplah, jangan ‘goreng’ lagi,” tegasnya.- MalaysiaGazette